Harga RON95, RON97 Turun Satu Sen, Diesel Naik Satu Sen

KUALA LUMPUR – Harga runcit bagi RON95 dan RON97 turun sebanyak 1 sen berkuatkuasa tengah malam ini.

Bagi RON95, harganya turun kepada RM1.92 seliter daripada RM1.93 seliter, manakala harga runcit petrol RON97 pula turun kepada RM2.22 seliter daripada RM2.23 seliter.

Sementara itu harga runcit diesel pula naik satu sen kepada RM2.05 seliter daripada RM2.04 seliter.

Harga baharu ini akan berkuatkuasa sehingga 18 Januari.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata penetapan harga runcit produk petroleum bagi minggu tersebut (12-18 Jan) adalah mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Kerajaan Persekutuan telah mengotakan janji untuk melaksanakan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan penurunan harga petroleum di pasaran dunia.

“Demi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga yang ketara apabila harga minyak dunia meningkat, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel melalui pemberian subsidi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Lim, kaedah mingguan itu yang menurunkan harga runcit produk petroleum apabila harga minyak dunia turun dan mengehadkan pada RM2.20 bagi RON95 dan RM2.18 untuk diesel apabila harga minyak dunia naik, merupakan inisiatif baharu kerajaan demi melindungi kepentingan golongan B40.

“Had harga minyak ini akan dibatalkan apabila subsidi minyak bersasar dilaksanakan pada pertengahan tahun ini,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan melaksanakan penetapan harga minyak secara mingguan mulai 5 Jan lepas.

Bagi minggu-minggu yang seterusnya, harga runcit akan diselaraskan semula mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula APM. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.