Video: Aksi Bahaya, Wanita Ini Hentikan Kereta Api Laju Kerana Suami Terlewat

BEIJING- Seorang wanita yang juga seorang guru di China melakukan aksi berbahaya dengan menghalang pintu kereta api laju daripada ditutup bagi memberi masa kepada suaminya untuk menaiki gerabak.

Xin’an Evening News melaporkan, Luo Haili bersama suami dan anak perempuannya tiba lewat untuk menaiki kereta api laju dari Hefei di wilayah Anhui untuk ke Guangzhou pada Jumaat lalu.

Luo bersama anaknya sempat menaiki kereta api itu tetapi dia bertindak menahan pintu bagi mengelak pintu tersebut ditutup dengan tujuan untuk menunggu suaminya yang masih beratur di tempat pemeriksaan tiket.

Beberapa petugas cuba menghalang wanita itu tetapi dia tetap enggan berganjak dari pintu atau turun dari kereta api itu.

“Suami saya di tempat pemeriksaan tiket. Saya akan pergi apabila dia datang,” katanya.

Selepas bergelut selama lima minit, suami wanita itu akhirnya tiba dan mereka dibenarkan menaiki kereta api.

Bagaimanapun, insiden berkenaan dirakam seorang petugas menggunakan telefon bimbit dan terus menjadi tular di media sosial.

Menurut akhbar itu, Luo digantung tugas dari sebuah sekolah di Hefei sementara menunggu siasatan oleh biro pendidikan tempatan.

Di China, sesiapa yang menghalang operasi perkhidmatan kereta api boleh didenda 2,000 yuan (RM1,229).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.