Perang Mulut Dengan Ifa: Roslan Enggan Keruhkan Keadaan

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Roslan Shah, membatalkan perancangan mengadakan sidang media bagi menjelaskan isu berkaitan pergaduhannya dengan Ifa Raziah.

Menerusi kenyataan dikirimkan kepada BH Online, Roslan berkata, keputusan itu dibuat kerana dia tidak mahu memanjangkan isu berkenaan.

“Atas nasihat banyak pihak dan semangat sesama (orang) Islam, saya tidak berhasrat memanjangkan lagi isu ‘perang mulut’ antara saya dan Ifa Raziah.

“Dengan ini, saya membatalkan pertemuan dengan pihak media yang pada awalnya dirancang pada Jumaat (12 Januari) ini.

“Atas nasihat ramai juga, saya takkan membuat sebarang ulasan atau maklum balas berkenaan hal itu lagi selepas ini,” katanya.

Sejak akhir-akhir ini, kedua-dua selebriti itu sering berkongsi status di laman sosial yang mendedahkan wujudnya hubungan kurang baik antara mereka.

Perang mulut antara kedua-duanya memuncak apabila Ifa, 42, mendakwa selebriti kelahiran Singapura itu memburuk-burukkan anak dan suaminya.

Perkara itu membuatkan Roslan, 47, nekad mahu menjelaskan situasi sebenar pada sebuah sidang media.

Sementara itu, Roslan berharap isu terbabit menjadi pengajaran buat dirinya.

“Selepas ini, saya hanya mahu memberikan tumpuan kepada kerjaya sebagai penghibur, mencari rezeki dan menjaga ibu yang sakit di Singapura. Saya tidak sesekali mencari publisiti murahan dengan bergaduh sesama rakan artis.

“Di sebalik semua cabaran dan dugaan hidup dilalui, saya selalu percaya ada hikmah terbaik di sebaliknya. Hanya Allah yang mengetahuinya,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.