Pembahagian Jumlah Kerusi Ditandingi PH Belum Muktamad, Kata PAN

KUALA LUMPUR – Pintu perbincangan jumlah kerusi yang akan dipertandingkan parti dalam pakatan pembangkang masih terbuka.

Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara, Dr Hatta Ramli, berkata perbincangan itu, termasuk pertukaran kerusi antara parti dalam pakatan pembangkang.

Tambahan pula, katanya, kerusi di Sabah dan Sarawak sedang diteliti dan hanya akan diumumkan minggu depan.

“Pada saya, jumlah kerusi yang diagihkan mengikut parti itu sudah selesai apabila diumumkan pada konvensyen parti Ahad lalu.

“Maka, tidak timbul soal parti ini dipinggirkan dalam pengagihan kerusi kali ini dan kami percaya akan diberikan kepercayaan untuk lebih kerusi di Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media di Wisma Amanah, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai banyak bantahan mengenai jumlah kerusi oleh akar umbi, beliau berkata, mana-mana pihak boleh menyatakan ketidakpuasan hati mereka dan pada masa sama, pintu perbincangan sentiasa dibuka.

Katanya, keputusan yang sudah diumumkan sewajarnya diterima tapi tidak salah jika ada yang mahu membuat pertukaran kerusi, namun perlu ada persefahaman antara kedua-dua pihak.

“Perbincangan ini perlu menguntungkan kedua-dua belah pihak dan mengambil kira situasi semasa, bukan lagi soal sejarah kawasan atau calon saja.

“Malah, jika ada mana-mana pemimpin atau menteri dari kerajaan yang hendak melompat parti dan bersama kita, maka dia akan dipertimbangkan untuk bertanding di kawasan yang dirasakan sesuai untuk menang,” katanya.

Beliau menjelaskan, pertimbangan utama untuk pengagihan kerusi dan calon adalah kemenangan kepada pakatan pembangkang. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.