PAN Pahang Kecewa Tanding Satu Kerusi Parlimen

KUANTAN – Parti Amanah Negara (PAN) Pahang kecewa dengan pembahagian kerusi antara pakatan pembangkang, yang menyaksikan parti itu hanya mendapat satu kerusi parlimen di Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Namun, Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Pahang, Syed Hamid Syed Mohamed, menegaskan pihaknya reda dan menerima keputusan yang sudah dibuat pucuk pimpinan pakatan pembangkang selepas meneliti pelbagai faktor, termasuk kekuatan masing-masing.

“Kalau hendak cakap pasal setuju atau tidak, memang saya tidak puas hati kerana PAN di Pahang hanya diperuntukkan satu kerusi sahaja iaitu di Parlimen Temerloh walaupun kita ada minta beberapa tempat lain.

“Namun, kita harus ketepikan kekecewaan dan rasa tidak puas hati itu untuk melihat agenda lebih besar iaitu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memerintah,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, semalam.

Menerusi pembahagian kerusi, PAN yang juga parti serpihan PAS diperuntukkan kerusi Parlimen Temerloh, manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baharu sahaja ditubuhkan mendapat enam kerusi.

PPBM akan bertanding di Parlimen Pekan, Lipis, Paya Besar, Maran, Jerantut dan Kuala Krau, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendapat empat kerusi di Indera Mahkota, Bera, Kuantan serta Rompin.

DAP pula akan bertanding di Parlimen Cameron Highlands, Bentong dan Raub.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), pakatan pembangkang yang ketika itu turut dianggotai PAS, menang empat kerusi daripada 14 dipertandingkan di Pahang iaitu Kuantan, Indera Mahkota, Raub dan Temerloh.

Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata, pada masa ini, rundingan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih berjalan.

“Setakat ini, sembilan kerusi DUN di Pahang sah diberi kepada PAN. Cuma ada sebilangan masih dalam rundingan, kita harap semuanya akan selesai dalam masa terdekat,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.