Keluarga dan Kenalan Najib Ke Mekah Perbelanjaan Sendiri, Tidak Guna Duit Kerajaan

Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Arab Saudi dipertikai berikutan ahli keluarganya juga turut serta tersenarai sebagai ahli rombongan jemputan khas Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Ahli rombongan yang tersenarai dalam jemputan tersebut terdiri daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; ibu Perdana Menteri, Tun Rahah; beberapa ahli keluarga, kenalan dan pegawai Perdana Menteri.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi kenyataannya melaporkan, selain melakukan lawatan kerja, Najib juga berhasrat untuk menunaikan umrah bersama ahli keluarganya dan beberapa kenalannya.

“Adik-adik YAB Perdana Menteri termasuk kenalan beliau yang turut sama dalam lawatan ini telah membuat perbelanjaan sendiri ke Tanah Suci. Hanya Tun Rahah yang turut bersama Datuk Seri Mohd Najib dalam perjalanan kapal terbang ke Arab Saudi,” lapor kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

Jelas PMO, nama-nama kenalan Najib dimasukkan ke dalam senarai rombongan bagi memudahkan urusan pentadbiran dengan pihak Arab Saudi dalam urusan mengerjakan umrah.

Najib ke Arab Saudi selama lima hari bermula 8 Januari dan akan berakhir esok (12 Januari) bagi membincangkan isu-isu dua hala yang telah dipersetujui kedua-dua negara semasa kunjungan beliau ke Malaysia pada tahun lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, Najib akan bertemu Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bil Salman Abdulaziz Al Saud di Riyadh.

Antara isu yang dibincangkan pada pertemuan berkenaan termasuk kerjasama ekonomi, pelaburan, hal ehwal Haji dan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Putrajaya.

“Lawatan perdana menteri ke Arab Saudi akan memperkukuhkan lagi hubungan persahabatan antara dua negara,” kata kenyataan Kementerian Luar. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.