6 Rumah Dan Markas PAS Rosak Akibat Ribut

Enam buah rumah dan sebuah markas PAS di Kampung Paya Keladi Hujung, Pinang Tunggal di Kepala Batas, rosak akibat ribut kencang semalam.

Seorang mangsa Mohd Azman Jamal, 42, berkata semasa kejadian kira-kira 6.30 petang itu, beliau baru sampai ke rumah setelah keluar membeli barangan bersama isteri manakala dua anak perempuannya berada di bahagian ruang tamu.

“Semasa itu, memang hujan lebat dan angin kuat, bila masuk ke dalam rumah tiba-tiba dengar bunyi dentuman kuat di bahagian dapur dan saya terus meluru untuk tengok. Sebahagian bumbung rumah kami diterbangkan angin kuat manakala selebihnya runtuh di bahagian dapur.

“Air hujan masuk ke bahagian dapur dan saya suruh isteri serta anak-anak keluar dari rumah kerana bimbang ada bahagian lain yang dibawa angin atau runtuh. Dua rumah jiran saya turut rosak di bahagian hadapan dan ruang tamu kerana ribut,” katanya.

Mohd Azman berkata malam tadi, mereka sekeluarga menumpang di rumah ibu mertuanya di Bertam.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal Datuk Roslan Saidin ketika dihubungi Bernama berkata beliau mengunjungi rumah mangsa ribut dan dua daripada enam keluarga terlibat menumpang di rumah anggota keluarga masing-masing kerana keadaan kediaman mereka rosak agak teruk.

“Saya juga mengarahkan supaya tindakan segera diambil bagi membaiki rumah penduduk yang rosak dalam kejadian itu esok dan ia akan dibiayai menerusi peruntukan Anggota Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata selain rumah dan markas PAS itu yang rosak, beberapa pokok di kawasan terlibat juga tumbang serta patah sehingga menghalang lalu lintas di situ.

Beliau berkata pihak polis bersama beberapa agensi kerajaan lain berada di lokasi kejadian bagi membantu mangsa.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.