Optimumkan perbelanjaan kerajaan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu anggota pentadbiran dan penjawat awam melaksanakan langkah mengoptimumkan perbelanjaan dan bukan mengenakan pendekatan jimat cermat dalam pentadbiran pada tahun ini.

 

Dalam amanatnya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang pertama bagi 2016, di sini hari ini, Najib juga mahu penjawat awam menggunakan daya fikiran kreatif dan inovatif untuk meningkatkan produktiviti.

 

Beliau menegaskan dua perkara tersebut perlu menjadi tumpuan utama dalam pentadbiran kerajaan pada tahun ini bagi menangani faktor luaran yang tidak dapat dikawal oleh Malaysia.

 

“Mengoptimumkan perbelanjaan tidak bermaksud sebagai langkah ‘austerity’ (jimat cermat) potong sana potong sini, tetapi kita melihat bagaimana setiap ringgit yang akan dibelanjakan boleh mendatangkan hasil dan kesan yang paling besar.

 

“Selain itu, kita boleh tambah lagi usaha kita bukan bermaksud kerja keras sahaja, tetapi menggunakan minda kita berfikir secara kreatif dan inovatif untuk meningkatkan produktiviti. Saya selalu tekankan ‘give me solution’ (beri saya penyelesaian),” katanya.

 

Turut hadir pada perhimpunan itu ialah menteri dan timbalan menteri di JPM; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan warga JPM.

 

Najib berkata beliau juga bercadang menubuhkan satu kumpulan kecil bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara bagi menyelesaikan projek-projek yang lambat dilaksanakan.

 

“Kita akan panggil agensi atau kementerian berkaitan untuk melihat apa yang menyebabkan sesuatu projek itu lambat.

 

“Kita akan lihat jika ada proses yang melambatkan, menyusahkan. Saya minta pihak ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) jadi sekretariat bagi mengenal pasti tempat-tempat tertentu yang boleh diberi tumpuan,” katanya.

 

Beliau berkata anggota pentadbiran kerajaan juga perlu kembali kepada agenda rakyat didahulukan dan ‘people’s economy’ (ekonomi keperluan rakyat).

 

Katanya walaupun rakyat memahami keadaan ekonomi adalah di luar kawalan negara, namun mereka mengharapkan agar segala projek dan program kerajaan dapat diberi tumpuan sepenuhnya.

 

Najib berkata soal berbangkit yang diuar-uarkan pada pertengahan tahun lepas telah terjawab dan kerajaan hari ini terbukti mendapat sokongan Parlimen apabila Bajet 2016 diluluskan dengan majoriti meyakinkan.

 

“Ayuh terus maju. Agenda kita besar, agenda kita untuk negara, untuk rakyat dan untuk kesejahteraan kita bersama.

 

“Isu sensitif kita cuba cari jalan penyelesaian. Jangan biarkan ia menjadi duri dalam daging yang boleh menyebabkan masalah dari segi keselamatan atau hubungan kaum sesama kita,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!