SAR Berjaya Bawa Naik Ekor QZ8501

Jakarta – Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) berjaya membawa naik ke permukaan laut bahagian ekor pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 dari dasar laut berhampiran Pangkalan Bun di Kalimatan Tengah.

 

Bahagian pesawat itu kini berada atas kapal pengangkut Crest Onyx yang sedang menuju ke Pangkalan Bun untuk tindakan seterusnya, termasuk mencari kotak hitam.

 

Kerja-kerja membawa naik bahagian ekor pesawat itu mengambil masa lebih 7 jam dan ia menggunakan kaedah pengapungan dengan enam beg pelampung.

 

Bagaimanapun, keadaannya didapati dalam keadaan yang tidak baik.

 

Bahagian ekor pesawat itu dikesan tiga hari lepas dan ia didapati dalam keadaan terbalik dan terbenam dalam dasar laut yang berselut.

 

Laporan itu juga menyebut pihak berkuasa masih tidak pasti sama ada kotak hitam berada dalam bahagian ekor itu.

 

Operasi SAR yang dikendalikan oleh Badan SAR Nasional (BASARNAS) dan dibantu oleh beberapa negara lain termasuk pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu memasuki hari ke-14 hari ini dan setakat ini 48 mayat telah ditemui.

 

Identiti 29 dari mereka telah dikenal pasti.

 

Pesawat yang membawa 162 penumpang dan anak kapal itu telah berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari yang sama.

 

Ia terputus hubungan dengan kawalan trafik udara Indonesia tidal lama setelah berlepas.

 

Penumpang pesawat itu terdiri daripada 149 orang warga Indonesia, tiga Korea Selatan dan masing-masing seorang rakyat Singapura, Malaysia dan United Kingdom.

 

Kru terdiri daripada enam rakyat Indonesia dan seorang warga Perancis. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.