Ni Bu Zhi Dao De Shi Dalam Album Baru Najwa Latif

Kuala Lumpur – Ekoran mendapat respon positif ketika dia menyanyikan lagu Ni Bu Zhi Dao De Shi nyanyian asal penyanyi popular Hong Kong, Wang Lee Hom pada tahun lalu, lantas memberi idea kepada Najwa Latif dan pihak pengurusannya untuk memuatkan lagu tersebut di dalam album terbaharunya yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.

 

Beritahu Najwa, album terbarunya itu juga tambah istimewa kerana turut diselitkan sebuah lagu bahasa Inggeris dan juga dua lagu ciptaan komposer lain.

 

“Saya sedang dalam proses rakamkan album kedua. Ada tujuh lagu ciptaan saya bersama kakak saya dan dua lagu dari komposer lain.

 

“Kali ini tambah istimewa ada sebuah lagu berbahasa Inggeris dan sebuah lagu Mandarin. Lagu Mandarin tu sebenarnya lagu Lee Hom, saya rakamkan semula.

 

“Saya dapat banyak respon positif dan ramai yang suka saya menyanyikan lagu itu, jadi selepas bincang dengan pengurusan, kita putuskan untuk selitkan lagu itu dalam album kali ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran telefon pintar di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

Najwa pernah diberi penghormatan berduet bersama Lee Hoom menyanyikan lagu tersebut sewaktu di konsert penyanyi berkenaan, LeeHom Music Man II Round II Live in Malaysia 2013.

 

Selain itu, sempena promosi albumnya nanti, dia juga merancang mengadakan persembahan jelajah ke beberapa lokasi terpilih yang akan dimaklumkan nanti.

 

Tak Kecewa
Dalam pada itu diminta mengulas mengenai kegagalannya terus mara ke pentas final Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29), kata pelantun lagu Aku ini, dia tidak merasakan ia satu kekalahan cuma bukan rezekinya kali ini.

 

“Saya tak kisah tak dapat ke final, lagipun saya memang tidak target daripada awal lagi dan tidak kecewa.

 

“Mungkin bukan rezeki saya pada tahun ini. Sudah dapat ke separuh akhir pun saya sudah gembira tetapi kalau dapat ke final, itu dikira bonus.

 

“Apa yang penting sekarang, peminat terus menyokong saya dan memberi semangat untuk saya terus menghasilkan lagu-lagu yang terbaik,” katanya yang pernah membuat kejutan berjaya ke final AJL26 menerusi lagu ciptaannya, Cinta Muka Buku.

 

Perkembangan lain, penuntut Ijazah Sarjana Muda jurusan Bahasa Inggeris ini sedang berdebar menantikan keputusan peperiksaan semesternya yang akan keluar tidak lama lagi. – mD

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.