Nazim Tidak Peduli Digelarkan ‘Syok Sendiri’

Petaling Jaya – Pelakon Nazim Othman tidak ambil pusing dengan kritikan sesetengah pihak yang menggelarkan dirinya ‘feeling’ atau syok sendiri setiap kali memuat naik status terutamanya gambar dirinya sendiri di laman sosial, di Instagram mahupun Twitter miliknya. Ada yang mengatakan gaya dan cara Nazim terlalu menunjuk sehingga membuatkan peminat berasa jengkel.

 

Mengulas lanjut hal itu, dia mengakui memang seorang yang suka bergambar dan suka berkongsi perkara menarik dengan pengikut di Instagram. Malah, dia menerima pujian peminat dan ada juga yang memberikan komen berbaur negatif.

 

“Saya memang seorang yang suka bergambar dan bercinta dengan kamera. Janganlah benci saya hanya disebabkan kamera suka saya.

 

“Kalau ada orang yang cakap saya ni ‘feeling’, tak mengapa sebab kritikan itu tidak menjejaskan kerja saya.

 

“Kerja saya tetap berjalan lancar dan rezeki tetap ada. Lagipun pada zaman sekarang, Instagram adalah platform paling mudah dan cepat untuk selebriti berhubung dengan peminat mereka,” kataya ketika ditemui pada acara pelancaran produk penjagaan lelaki di Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

Kata pelakon drama Gerimis Salji Namira ini lagi, sekiranya ada komen atau soalan berbaur provokasi daripada pengikut, dia tidak terus melenting sebaliknya akan mengatasi hal tersebut sebagai seorang yang lebih matang.

 

“Kalau provokasi sebegitu datang pada usia saya 25 tahun, mungkin saya akan melenting dan cepat marah. Bohong kalau saya katakan saya tidak bengang bila dapat komen seperti itu.

 

“Dulu ya, saya melenting tetapi sekarang, saya sudah tidak kuasa (malas).

 

“Saya ambil pendekatan, tidak terlalu melayan komen tersebut kerana orang yang memberi komen itu tidak kenal diri saya secara peribadi.

 

“Lainlah kalau pihak yang komen itu dalam kalangan mereka yang betul-betul rapat dengan saya. Jika begitu, saya memang akan ambil hati terhadap orang tersebut,” katanya.Sebagai seorang selebriti, Nazim menerima bahawa memang menjadi lumrah segala gerak geri dan tingkah lakunya akan menjadi tumpuan umum. Baginya, ada baiknya ketika menerima kritikan kerana secara tidak langsung dia akan cuba memperbaiki dirinya.

 

“Saya tidak tolak mentah-mentah kritikan orang pada saya. Saya tidak boleh hanya mahu mendengar yang baik-baik saja tentang diri saya, sebab kalau tidak ada orang yang kritik kita, tentu kita akan sentiasa rasa berada di zon selesa.

 

“Bengang tu memang bengang, tapi saya boleh kawal lagi. Kalau sudah agak melampau saya akan terus sekat pegikut itu dari Instagram saya,” katanya.

 

Menyentuh pula tentang perkembangan kerjaya, buat masa ini dia masih lagi bercuti dan akan kembali sibuk di set penggambaran bermula Februari nanti.

 

“Kalau tahun lalu saya macam nampak banyak berehat tetapi hari-hari saya di set penggambaran. Tahun ini juga saya ada banyak perancangan untuk kerjaya sendiri dan saya kembali bekerja mulai bulan depan,” katanya. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.