Najib Hadiri ‘Malam Cinta Rasul’ Di Masjid Jamek Kampung Bharu

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini menyertai kira-kira 5,000 orang pada program Malam Cinta Rasul siri kedua di Masjid Jamek Kampung Bharu, di sini.

 

Perdana Menteri yang memakai baju Melayu oren dan kain pelikat serta bersongkok tiba kira-kira 7.15 malam dan terus menunaikan solat Maghrib bersama jemaah.

 

Program anjuran Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa dan masjid berkenaan bermula sejurus kemudian dengan persembahan qasidah dan selawat oleh kumpulan qasidah Al-Yamani.

 

Najib kemudian menyertai jemaah menunaikan solat Isyak dan solat Hajat memohon agar Allah SWT memberi keselamatan dan kesejahteraan kepada negara.

 

Program tersebut kemudian diteruskan dengan persembahan qasidah dari kumpulan Al-Yamani sekali lagi sebelum penyampaian tazkirah oleh penceramah terkenal dari Indonesia Ustaz Ahmad Al-Habsyi.

 

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa Nazir Hussin Akhtar Hussin ketika ditemui pemberita pada majlis itu berkata, program itu bagi memohon kepada Allah SWT agar Malaysia dikurniakan kesejahteraan pada tahun baharu 2015 ini.

 

“Selepas pelbagai ujian yang negara hadapi pada tahun lalu, pada tahun ini kita perlu memulakan dengan majlis-majlis keagamaan seperti ini agar Malaysia terus diberkati dan dilindungi”, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.