Khutbah Nasihat 
Ke Arah Kebaikan

Khutbah Jumaat merupakan rukun dalam solat Jumaat dan tidak pernah sama sekali menggalakkan budaya ekstremisme atau keganasan sebaliknya mengajak dan menasihatkan orang ramai ke arah kebaikan.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, khutbah Jumaat juga termasuk dalam aktiviti dakwah secara lisan yang berunsur pendidikan menerusi nasihat agama, menaikkan semangat dan menimbulkan keinsafan selain mengambil kesempatan menyampaikan dasar-dasar negara.

 

Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menye­ragamkan dengan menerbitkan teks khutbah Jumaat dan menyelaraskan aktiviti di mimbar seperti pentadbiran tempat ibadat agama lain bagi mengelak tersasar daripada objektif asal.

 

“Tuduhan oleh individu yang membuat tuduhan tersebut dengan menggunakan nama Eric Paulsen bahawa Jakim mempromosikan atau menggalakkan ekstremisme setiap Jumaat merupakan perlakuan tidak bertanggungjawab yang amat serius dan ia bersifat provokasi kepada keharmonian antara agama yang dinikmati selama ini.

 

“Sehubungan itu, saya mengarahkan Jakim membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap pihak yang me­nuduh jabatan kerajaan tersebut mempromosikan ekstremisme setiap Jumaat bagi menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Jamil Khir turut mengingatkan orang ramai supaya berhenti daripada mencipta atau menyebarkan sebarang bentuk maklumat yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat.

 

Sementara itu, beliau berkata, masyarakat Malaysia terutama orang bukan Islam dinasihatkan tidak sewenang-wenangnya me­ngaitkan agama Islam dengan unsur pengganas apabila timbul isu berkaitan keganasan.

 

Menurutnya, Malaysia seharusnya menjadi contoh kepada negara luar kerana meskipun masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan berbeza anutan agama, namun sikap saling menghormati sentiasa diutamakan di antara satu sama lain. – Utusan Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.