Kes Amuk Aliff Aziz Selesai, Saman Digugurkan

Kuala Lumpur – Kes amuk membabitkan penyanyi kontroversi kelahiran Singapura, Aliff Aziz, 25, pada Disember tahun lalu sehingga menyebabkan kecederan seorang Pengurus Jabatan Kontrak yang dikenali sebagai Ismail Mahtar, 53, telah selesai secara baik apabila penyanyi itu sendiri membuat permohonan maaf kepada mangsa tersebut, baru-baru ini.

Aliff yang menghubungi Malaysian Digest memberitahu, dia sudah pun menghubungi Ismail untuk memohon maaf atas kecederaan yang dialaminya.

“Saya ingin membuat kenyataan di sini bahwa saya telah menghubungi abang Ismail (mangsa) dan memohon maaf kepada beliau. Saya juga telah terangkan kepada beliau bahwa saya memang tidak berniat langsung mahu menyerangnya tetapi kejadian berlaku dalam keaadan saya tidak sedar.

“Alhamdulillah, abang Ismail faham akan situasi saya dan beliau memaafkan saya. Beliau juga bersetuju untuk mengugurkan saman terhadap saya. Jadi, isu ini telah pun dapat diselesaikan dengan baik,” katanya yang kini masih berada di rumahnya di Singapura.

Pada 11 Disember lalu, Malaysian Digest melaporkan Ismail yang merupakan salah seorang penginap di sebuah hotel terkemuka di ibu negara mendakwa diserang Aliff di lobi hotel berkenaan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi dan ketika itu Aliff dikatakan dalam keadaan separuh sedar dan di dakwa berada dibawah pengaruh alkohol.

Akibatnya Ismail mengalami kecederaan patah tulang bahu di sebelah tangan kanan manakala laporan media menyebut, Aliff menafikan dia berada dalam keadaan di bawah pengaruh dadah ketika kejadian sebaliknya mendakwa dirinya di sampuk makhluk halus.

Jelas Aliff lagi, dia kini berasa lega kerana isu tersebut sudah selesai dan tumpuannya sekarang pada album terbaharunya yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.

“Single terbaharu saya berjudul Selayaknya baru saja dipasarkan. Saya akan pulang ke Kuala Lumpur secepat mungkin dan tumpuan saya kini hanya pada nyanyian dan album saya yang akan berada di pasaran dalam bulan ini,” katanya.

Sementara itu, Ismail yang dihubungi Malaysian Digest mengesahkan yang dia sudah memaafkan Aliff. Dia juga telah mengugurkan saman terhadap penyanyi itu, pada Jumaat lalu.

“Ya, saya maafkan dia sebab saya tahu dia tidak berniat menyerang saya dan saya juga telah mengugurkan saman terhadap dirinya,” katanya.

Mengenai kos rawatan kecederaan pula, Ismail menyatakan dia tidak menuntut apa-apa bayaran tetapi mencadangkan Aliff membuat sumbangan komuniti (CSR) dengan mana-mana badan bukan keraaan (NGO).  – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.