Jangan Buat Kesimpulan, Banyak Perkara Belum Dipastikan – Jamil Khir

Putrajaya – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyarankan semua pihak agar tidak cepat membuat kesimpulan mengenai serangan ke atas pejabat majalah satira Charlie Hebdo di Paris.

 

Beliau berkata, serangan tiga lelaki bertopeng dan bersenjata yang telah menyebabkan 12 orang terbunuh itu tidak seharusnya dikaitkan dengan Islam sehingga ia dibuktikan pihak yang melakukannya.

 

“Menuduh hal (serangan) ini dilakukan Islam tidak patut. Jangan buat kesimpulan kerana masih banyak perkara belum dipastikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Konvensyen Antarabangsa: Kebijaksanaan Mengharmonikan Dunia’ anjuran Universiti Islam Malaysia, di sini, hari ini.

 

Jamil Khir menegaskan serangan di Paris tidak patut berlaku kerana semua pegangan agama mengharamkan pembunuhan.

 

“Semua pegangan agama mengajar kita sentiasa berkelakuan baik dan tidak menyebabkan kerosakan dan kekacauan. Dalam ajaran Islam juga menekankan bahawa pembunuhan merupakan satu kesilapan dan dosa besar,” katanya.

 

Dalam kejadian Rabu lepas, tiga lelaki dikenal pasti sebagai suspek yang melakukan serangan berkenaan dan pihak berkuasa mendakwa suspek mempunyai hubungan dengan kumpulan militan IS dan al-Qaeda. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.