Hadi Awang Lebih Layak Pegang Jawatan Mursyidul Am

Alor Setar – Bekas Exco Pemuda Pas Pusat, Zulhazmi Shariff mencadangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dicalonkan sebagai Presiden pada pemilihan parti sesi 2015-2017 yang bakal berlangsung pertengahan tahun ini.

 

Sebaliknya beliau yang juga calon Ketua Pemuda PAS pada Muktamar 2013 berkata Hadi lebih layak memegang jawatan Mursyidul Am Pas menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang uzur.

 

Tambahnya, Hadi tidak wajar untuk bertanding kerana beliau menganggotai Majlis Syura Ulama yang merupakan badan tertinggi parti itu.

 

“Saya cadangkan Abdul Hadi melepaskan jawatan Presiden dan mengambil alih tugas Nik Aziz yang dilihat semakin uzur.

 

“Ketokohan dan ilmu yang ada pada Abdul Hadi dan diiktiraf dunia sehingga dimartabatkan sebagai Naib Ketua Ulama Dunia, melayakkan beliau dilantik sebagai Mursyidul Am PAS,” katanya menerusi akaun laman Facebooknya.

 

Selain Abdul Hadi, nama lain yang dicadangkan untuk tidak dicalonkan dalam pemilihan kepimpinan termasuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat turut disenaraikan.

 

Zulhazmi berkata, kesemua yang disenaraikan itu memegang jawatan dalam institusi paling tinggi parti iaitu Majlis Syura Ulama dan mereka tidak wajar mempunyai apa-apa jawatan lain di peringkat lebih rendah.

 

“Majlis Syura adalah institusi tertinggi berperanan memantau PAS supaya tidak tergelincir dari landasan perjuangan serta dasar parti iaitu Islam. Ia juga merupakan institusi tertinggi yang bertindak memutuskan sebarang rayuan tatatertib ahli parti,” tambahnya.

 

Menurutnya, keadilan dalam Islam bukan sekadar ungkapan tetapi perlu dipraktikkan.

 

“Sebarang pertindihan kepentingan, pertindihan kuasa yang boleh menimbulkan keraguan dan fitnah hendaklah dielakkan lebih awal,” katanya.

 

Sehubungan itu juga, Zulhazmi mencadangkan PAS kawasan di seluruh negeri tidak mencalonkan nama-nama disenaraikan itu untuk sebarang jawatan dan sekiranya dicalonkan, disarankan mereka menolak pencalonan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.