Dr Halim Shafie Dilantik Pengerusi Baharu SKMM

Kuala Lumpur – Bekas pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Seri Dr Halim Shafie dilantik sebagai pengerusi baharu SKMM untuk penggal dua tahun, demikian diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada Ahad.

 

Dr Halim, 65, kini merupakan pengerusi Telekom Malaysia, jawatan bukan eksekutif yang dipegangnya hampir enam tahun selepas khidmatnya dengan SKMM sebelum ini tamat. Beliau merupakan pengerusi SKMM dari April 2006 hingga Mei 2009.

 

Sebelum menyertai SKMM, Dr Halim ialah Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi selama enam tahun.

 

“Saya dengan penuh gembira mengumumkan bahawa Datuk Seri Dr Halim Shafie telah bersetuju untuk berkhidmat semula,” kata Ahmad Shabery kepada Bernama.

 

“Tempoh khidmat beliau adalah selama dua tahun dan saya telah memberikan tugas spesifik untuk beliau laksanakan dan capai. Ini termasuk meneliti tadbir urus baik, yang selaras dengan usaha kerajaan untuk semua kementerian dan agensi.”

 

“Dr Halim, antara lain, akan memberi tumpuan terhadap usaha bagi memisahkan antara peranan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengerusi SKMM. Saya rasa ini penting bagi SKMM untuk memastikan wujudnya kesinambungan serta keseimbangan kuasa dalam organisasi itu,” kata beliau.

 

Ahmad Shabery berkata Dr Halim dijangka melakukan semakan semula terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk mewujudkan ruang siber yang sihat.

 

“Apa yang berlaku semasa banjir di Pantai Timur tahun lepas perlu dicegah daripada berulang. Walaupun undang-undang tidak mungkin dapat mencegahnya seratus peratus, tetapi kami berharap orang ramai akan berfikir dengan teliti sebelum berkongsi sesuatu maklumat yang belum disahkan,” katanya.

 

Dalam keadaan krisis, tingkah laku tidak bertanggungjawab seperti itu mungkin boleh mencetuskan keadaan kelam kabut dan menyebabkan kerja memberi bantuan menjadi bertambah sukar, katanya.

 

Dr Halim, yang juga Pengerusi Universiti Multimedia, mempunyai kedudukan yang amat baik bagi membantu Ahmad Shabery merealisasikan agendanya untuk negara.

 

Ahmad Shabery berkata: “Tahun ini, fokus akan diberi terhadap semua aspek pendigitalan negara ini. Saya amat berminat untuk melaksanakan suatu inisiatif digital, yang akan meliputi infrastruktur perkakasan dan perisian.”

 

“Kami perlu melakukannya jika Malaysia ingin terus kekal sebagai sebuah negara yang berdaya saing. Di samping memberi fokus terhadap pembangunan kandungan, kami juga perlu terus menerus menangani isu seperti kualiti, kelajuan dan kemampuan,” katanya.

 

Ahmad Shabery juga berkata beliau mengharapkan SKMM akan memainkan peranan utama dalam melaksanakan agenda itu, manakala pengalaman luas Halim dalam bidang berkenaan akan menjadi aset bagi organisasi berkenaan dan dalam membantu beliau menjayakan inisiatif itu.

 

“Saya terpaksa memujuk Halim keluar daripada dunia separa persaraannya untuk membantu saya menjalankan semua tugas ini. Komen pertama yang beliau beri kepada saya ialah usia tidak menyebelahinya,” kata Ahmad Shabery.

 

Bagaimanapun, menteri itu yakin bahawa setelah berkhidmat untuk sekian lama kepada negara, latar belakang perkhidmatan awam yang dimiliki, komitmen dan dedikasi serta pengalaman dalam bidang korporat yang beliau peroleh sejak beberapa tahun lepas, Halim akan dapat memberi sumbangan yang amat bermakna kepada SKMM dan industri berkenaan.

 

“Lebih penting lagi, setelah Akta SKMM 1998 dipinda dan peranan pengerusi dipisahkan daripada peranan CEO, Halim akan membantu saya dalam peralihan jawatan CEO kepada kedudukan baharu yang diwujudkan itu,” katanya.

 

Mengenai bekas pengerusi SKMM Datuk Mohamed Sharil Tarmizi, Ahmad Shabery mendoakan agar beliau sentiasa dilimpahi kesejahteraan serta mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang telah beliau berikan ketika menyandang jawatan itu dan seterusnya berkata, “kami amat menghargai komitmen yang telah beliau curahkan terhadap tugasnya.”

 

Halim memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Dengan Kepujian) daripada Universiti Malaya, Ijazah Sarjana dalam Pembangunan Ekonomi, Hal Ehwal Awam dan Antarabansga daripada University of Pittsburg dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemindahan Maklumat daripada Syracuse University.

 

Halim memulakan kerjayanya di Kementerian Pelajaran pada 1972, sebelum dilantik menduduki pelbagai jawatan lain, termasuk di Institut Tabiran Awam Negara (INTAN) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

 

Antara sumbangan besar beliau kepada perkhidmatan awam ialah menubuhkan Pusat Komputer Negara dan Pusat Teknologi Pengurusan INTAN.

 

Khusus bagi industri ini, Halim bertanggungjawab memulakan program berkaitan usaha merapatkan jurang digital di Malaysia, menggubal rangka kerja bagi Ubiquitous Libraries dan memupuk hubungan antara SKMM, industri dan golongan akademik melalui inisiatif seperti Akademi SKMM dan Jawatankuasa Perundingan mengenai Penyelidikan Spektrum.

 

Halim menerima sanjungan dan anugerah daripada pelbagai kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan kerana komitmen dan profesionalime yang telah beliau curahkan.

 

Dengan pelbagai pengalaman yang beliau miliki, Halim dilantik menjadi anggota lembaga pengarah dan menduduki jawatan penting lain dalam pelbagai agensi dan syarikat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.