2 Penumpang Warga China Dipenjara Kerana Buka Pintu Kecemasan Pesawat

Beijing – Sekurang-kurangnya dua penumpang dipenjarakan, selepas mereka membuka pintu kecemasan, sebagai tanda protes terhadap penerbangan ditunda.

 

Kejadian terbaru itu membabitkan penumpang warga China, apabila sebuah pesawat China Eastern terpaksa ditangguhkan penerbangannya, ekoran ribut salji yang melanda bandar Chengdu, barat daya China, pada awal pagi Sabtu.

 

Kejadian itu bermula dengan beberapa penumpang yang berang, mengadu mengenai penangguhan penerbangan itu dan masalah pengudaraan dalam pesawat terbabit.

 

Susulan itu, seorang lelaki bernama Zhou bertindak membuka tiga pintu kecemasan pesawat, yang seterusnya memaksa pesawat itu berpatah balik ke pintu pelepasan.

 

Menurut laporan China Central Television, seramai 25 penumpang yang menyertai satu pakej pelancongan ditahan untuk disoal siasat, manakala selebihnya dibenarkan menaiki sebuah pesawat lain ke Beijing.

Polis Kunming dalam satu kenyataan berkata, Zhou dan seorang pemandu pelancong bernama Li ditahan selama 15 hari, kerana membuka pintu kecemasan dan menghasut penumpang dengan memberikan maklumat palsu.

 

Jurutera penyenggaraan China Eastern, Zhu Yun berkata, sistem pengudaraan pesawat itu terpaksa ditutup selama 30 minit, untuk kerja-kerja nyahais, bagi mengelakkan wasap memasuki kabin.

 

Meskipun pembantu juruterbang telah memberi penjelasan kepada penumpang, masih ada segelintir penumpang yang marah, walaupun selepas pesawat itu meninggalkan pintu pelepasan.

 

“Membuka pintu-pintu kecemasan amat berbahaya, kerana tiada apa-apa yang boleh melindungi penumpang daripada kuasa kipas enjin berkuasa tinggi,” katanya.

 

Sementara itu, Pentadbiran Pelancongan Nasional China menyokong penuh tindakan polis menahan kedua-dua suspek itu, selain mengarahkan pegawainya di Beijing dan Kunming menjalankan siasatan lanjut, kerana mengesyaki ada penumpang lain terbabit dalam kes berkenaan.

 

Jurucakap Pentadbiran Pelancongan Nasional China, Zhang Jilin dalam satu kenyataan memaklumkan, nama-nama penumpang yang didapati turut terbabit dalam kes itu akan disenaraihitamkan dalam “rekod kebangsaan pelancong tidak bertamadun” untuk diedarkan kepada agensi pelancongan di seluruh negara itu.

 

Nama mereka boleh kekal dalam senarai itu selama 18 bulan, di mana agensi pelancongan berhak menerima atau menolak pelancong yang disenaraihitamkan itu.

 

Industri pelancongan udara berkembang pesat di China dan adalah yang kedua terbesar di dunia.

 

Namun, trafik terlalu banyak serta kawalan ketat tentera ke atas ruang udara, menyebabkan jumlah penerbangan ditunda di China adalah yang tertinggi di dunia.

Pembatalan dan penangguhan penerbangan serta aduan berhubung perkhidmatan adalah punca penumpang sering “mengamuk” di lapangan terbang dan dalam pesawat, termasuk gambar penumpang bergaduh dan menyerang kru, kerap dimuat naik ke Internet. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.