11 Sukarelawan UMNO Wilayah Terbabit Kemalangan Dalam Perjalanan Pulang Ke Kuala Lumpur Dari Kelantan

Kuala Lumpur – Seramai 11 sukarelawan Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan (BPUNWP) yang menyertai misi bantuan mangsa banjir di Pantai Timur nyaris maut, apabila van yang mereka naiki terbabit dalam satu kemalangan, berhampiran Bulatan Benta, di Kuala Lipis, Pahang, awal pagi tadi.

 

Ketika kejadian, van yang dinaiki 11 sukarelawan itu sedang berkonvoi dengan 22 kenderaan lain yang turut membawa kumpulan sukarelawan untuk misi bantuan tersebut, dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.

 

Tiga sukarelawan yang menaiki van itu cedera, dengan masing-masing mengalami patah kaki dan cedera di bahagian kepala.

 

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii yang turut serta dalam konvoi itu berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi Ahad, apabila pemandu van terbabit cuba mengelak sebuah bas ekspres yang menghimpit van tersebut, selepas memotong di lokasi kejadian yang jalannya agak sempit.

Katanya, van berkenaan kemudiannya terbabas ke bahagian kiri laluan, sebelum melanggar tembok penghadang di bahu jalan.

 

“Van tersebut mengalami kerosakan teruk dan terpaksa ditunda ke Ibu Pejabat Polis Daerah Raub.

 

“Sukarelawan yang cedera pula dihantar ke Hospital Kuala Lipis menggunakan ambulans, bagi mendapatkan rawatan dan keadaan mereka kini stabil,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post, pada Ahad.

 

Bagaimanapun, jelasnya, pemandu van berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kemalangan itu.

 

Mohd Razlan berkata, konvoi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan itu sudah beberapa hari berada di kawasan terjejas banjir di Pantai Timur, bagi memberi bantuan kepada mangsa bencana alam itu. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.