Tiga Penjenayah Mati Ditembak Ketika Serang Polis

JOHOR BAHARU, 11 Jan — Tiga penjenayah dipercayai warga asing mati ditembak oleh sepasukan polis selepas mereka cuba menyerang pasukan keselamatan itu dalam kejadian di Ulu Tiram, pagi Sabtu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata dalam kejadian 4.45 pagi itu, seorang daripada penjenayah melepaskan dua das tembakan ke arah pasukan polis manakala dua lagi melibas parang.

“Mereka bertindak demikian apabila pasukan polis yang sedang melakukan rondaan Ops Cantas Khas cuba menghampiri mereka. Akibat itu, anggota kami terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri,” katanya dalam sidang media, di Johor Baharu.

Menurut Mohd Mokhtar, ketiga-tiga penjenayah terbabit mati di tempat kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sejam sebelum kejadian, tiga lelaki berkenaan menyamun tiga pekerja tapak semaian di rumah kongsi mereka.

“Suspek yang disifatkan ganas ini dipercayai terbabit dalam 25 kes samun di Johor dan Perak, termasuk satu kes di Mersing, Jumaat.

“Terdapat dua kes penjenayah terbabit mencederakan mangsa ketika melakukan samun,” katanya.

Menurut Mohd Mokhtar, selain pistol dan tiga peluru hidup dan dua bilah parang, polis juga menemui sepucuk pistol tiruan, tangkal dan sejumlah wang tunai serta beberapa barangan dipercayai hasil samun.

Tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada tubuh suspek, katanya.

–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.