New York: Penyanyi Post Malone, 25, menyumbangkan lebih 2,000 pasang kasut kasual jenama Crocs yang direkanya sendiri kepada bekas sekolahnya di Grapevine, Texas.
Semalam, pengetua sekolah berkenaan, Alex Fingers berkongsi mengenai sumbangannya itu sebaik proses pengagihan kasut itu dimulakan.
“Terima kasih Post Malone kerana sentiasa berbakti kepada komuniti sendiri. Kami di Sekolah Tinggi Grapevine sangat berbangga dengan kejayaan anda,” tulisnya di Twitter.
Koleksi terbarunya bersama jenama terkenal itu mula berada di pasaran sejak semalam dan sudah habis terjual.
Malone turut membantu dalam proses mereka koleksi itu yang diinspirasi daripada tatu di badannya.
Terdahulu, bintang hip hop itu juga berjanji akan mendermakan 5,000 pasang kasut itu ke seluruh dunia.
Ia termasuk di Los Angeles, Sydney, Tokyo serta beberapa bandar raya terkenal lain.
Agensi