KUALA LUMPUR: Hilang tawaran kerja sejak penularan COVID-19, pelakon, Johan As’ari, bagaimanapun bersyukur mula dicari penerbit selepas sektor penggambaran dibenarkan beroperasi semula.
Johan atau nama penuhnya, Johan Ariff As’ari, berkata aktiviti seninya kembali sibuk dengan beberapa projek.
“Sebelum ini, Mawi menawarkan saya berlakon dalam drama Sabili : Ali di mana episod pengenalan disiarkan Nurflix.TV pada 6 November lalu. Dalam drama itu, saya diberi mandat sebagai teraju utama.
“Sekarang, saya sibuk dengan penggambaran filem ke-11 lakonan saya iaitu Penunggang Agama untuk siaran Astro First arahan Syafiq Yusof.

“Ini kali pertama saya berlakon di bawah arahan Syafiq,” katanya kepada BH Online.
Johan yang mencipta populariti melalui watak Botak dalam drama dan filem Juvana, turut ditawarkan menyertai program realiti, Muzikal Lawak Superstar, tidak lama lagi.
“Saya berganding dengan Ilham Abata dan Din Latah di bawah kumpulan Teruna. Ini kali pertama saya mencabar diri menyertai pertandingan seumpama itu,” katanya.
Terus sibuk, Johan yang meraih trofi Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2011 berkata, dia turut
ditawarkan projek drama 26 episod untuk RTM yang bakal menyaksikan dirinya berganding dengan Jasmine Suraya.
Berita Harian