Demi Harta Sanggup Bunuh Emak, Datuk

Amerika Syarikat – Seorang lelaki didakwa membunuh ibu dan datuknya semata-mata mahu membolot harta pusaka bernilai AS$29 juta (RM118 juta).

Mail Online melaporkan, Nathan Carman, 23, dituduh menggerudi beberapa lubang pada bot yang dinaikinya bersama ibunya, Linda Carman ketika dalam perjalanan untuk menangkap ikan di Pulau Rhode di sini pada 17 September tahun lalu.

Kejadian itu menyebabkan Linda mati lemas, manakala Nathan berjaya menyelamatkan diri dengan menggunakan sebuah rakit dan di­selamatkan seminggu selepas ditemui terapung di Laut Atlantik.

Nathan ketika itu tidak ditahan polis selepas memberi keterangan bahawa dia tidak mengetahui apa yang terjadi ke atas ibunya kerana dia pengsan selepas dihanyutkan ombak besar, lapor Kosmo.

Beberapa peguam yang mewakili syarikat bot berkenaan mendakwa, Nathan dipercayai menggunakan sejenis peralatan berkuasa tinggi bagi membesarkan lubang yang ditemui di bawah bot berkenaan.

“Tindakan itu menjadi punca utama bot tersebut karam dan menyebabkan kematian Linda,” kata dokumen mahkamah.

Sementara itu, Nathan turut menjadi suspek utama dalam kematian datuknya, John Chakalos, 87, seorang pemaju hartanah yang ditembak mati di Connecticut pada tahun 2013.

Hakim Mahkamah Majistret AS, Patricia Sullivan mengarahkan Nathan menye­rahkan maklumat mengenai selaras raifal separa automatik yang dimilikinya.

Tuntutan mahkamah yang dikemukakan ke atas Nathan menyatakan dia telah membeli selaras raifal yang kemudian digunakan untuk membunuh Chakalos.

Berikutan kejadian itu, tiga anak perempuan Chakolas telah memfailkan perintah mahkamah bagi mengelakkan Nathan mewarisi kekayaan ibu dan datuknya yang bernilai AS$29 juta. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.