Tunku Idris Berjanji Teruskan Usaha Tunku Jalil

Johor Bahru – Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim berjanji akan meneruskan kelangsungan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor yang bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan untuk mendapat rawatan.

 

Dalam laman Instagram rasminya, kekanda kedua, Almarhum Tunku Abdul Jalil itu memaklumkan dirinya telah berjanji memegang amanah tersebut ketika Tunku Laksamana Johor itu berhasrat menubuhkan yayasan tersebut.

 

“Seperti yang saya telah janjikan ketika kamu mahu menubuhkan yayasan. Kini, saya akan meneruskannya buat kamu,” katanya.

 

Yayasan yang ditubuhkan atas ilham Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas nama anakanda Tunku Jalil ketika itu yang bertarung melawan kanser yang dihadapinya sekali gus memberi peluang pembiayaan buat pesakit yang kurang berkemampuan.

 

Baginda Sultan Johor turut berkenan menyalurkan dana RM10 juta buat yayasan tersebut.

 

Semangat dan kekentalan Almarhum Tunku Laksamana Johor melawan kanser memberikan inspirasi kepada semua pihak meskipun ketika keadaan kesihatannya tidak mengizinkan Almarhum sentiasa ceria dan meneruskan aktiviti kegemarannya.

 

Putera Sultan Ibrahim dan Permaisuri, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris itu menjadi inspirasi khususnya buat pesakit kanser khususnya dan rakyat Johor amnya.

 

Almarhum Tunku Abdul Jalil mangkat 5 Disember lalu selepas didiagnosis menghidap kanser hati tahap empat yang dikesan sejak 20 Ogos lalu tahun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.