Tiada Tindakan Disiplin, Muhyiddin Masih Timbalan Presiden UMNO – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada Rabu malam tidak membincangkan sebarang tindakan disiplin ke atas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO mengesahkan demikian ketika ditanya pemberita keputusan mesyuarat tersebut.

 

“Mesyuarat ini tidak menyentuh perbincangan mengenai tindakan yang melibatkan Jawatankuasa Disiplin.

 

“Oleh sebab itu, presiden, timbalan presiden dan naib presiden masih orang yang sama. Jadi tidak timbul spekulasi di luar sana,” katanya dipetik dari laporan mStar Online.

 

Sebelum ini terdapat desakan pelbagai pihak menuntut supaya Muhyiddin dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal dikenakan tindakan disiplin atau penggantungan berikutan tindak-tanduk mereka yang menjejaskan parti.

 

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan mesyuarat itu lebih memfokuskan pada laporan wakil MT berkenaan persidangan ketiga-tiga sayap parti serta usul yang akan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2015 (PAU2015) bermula Khamis.

 

“Sesungguhnya kebijaksanaan ini dilakukan oleh presiden parti. Maka janganlah membuat spekulasi yang negatif di luar sana. Apa yang diputuskan itulah yang akan dilaksanakan,” katanya.

 

Dalam pada itu Ahmad Zahid juga mengesahkan ucapan penggulungan pada hari terakhir PAU 2015 hanya akan dilakukan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

“Sebagaimana yang berlaku dalam sayap parti hanya ketua yang membuat penggulungan maka ia akan dilakukan presiden parti sahaja,” ujarnya. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.