Sejak Berhijab Ramai Tak Kenal Saya – Salma

Agak lama tidak muncul menerusi kaca televisyen namun penyanyi Salma Asis, 25, memberitahu karier nyanyiannya masih aktif malah dia ada menerima undangan persembahan juga menyanyi di majlis koporat.

 

Cuma sejak tampil dengan imej berhijab, juara Mentor musim kelima ini mengakui ramai pihak tidak mengenali dan lupa padanya.

 

“Sebelum mengandung dan bersalin, saya masih terima undangan menyanyi cuma lama juga tak muncul di kaca televisyen.

 

“Lagipun sejak saya bertudung, ramai yang tak ingat saya. Misalnya jika peminat terjumpa saya di mana-mana, mereka seperti tidak percaya dan bertanya betul ker saya ni Salma? Mungkin wajah saya nampak lain apabila bertudung,” katanya ketika ditemui pada sidang media program realiti terbaharu terbitan Astro, Seiras Seirama, di Damansara, kelmarin.

 

Seiras Seirama merupakan pertandingan pencarian bakat yang mencari peserta dengan suara dan gaya nyanyian persis ikon-ikon terkenal tanah air.

 

Bagi musim pertama ini barisan ikon pilihan yang terlibat seperti Datuk Jamal Abdillah, Ella, Ziana Zain, Misha Omar, Mas Idayu, Faizal Tahir dan Hafiz Suip.

 

Sebanyak lapan episod, kesemua peserta akan berentap untuk muncul sebagai juara program dan mereka diadili sepenuhnya oleh juri profesional.

 

Seramai tujuh peserta akan mewakili ikon (satu peserta, satu ikon) di pentas akhir bagi merebut hadiah juara iaitu wang tunai berjumlah RM20,000.

 

Seiras Seirama bakal memulakan siaran mulai 20 Disember jam 9 malam dan di siarkan di saluran Astro Ria.

 

 

Saingi Suami

 

Mengulas mengenai penglibatannya dalam Seiras Seirama, Salam berkata, dia terpanggil untuk menyertai pertandingan tersebut menjadikan program tersebut sebagai platform kemunculan semulanya.

 

Tambahan, dia gembira kerana terpilih menjadi di antara empat peserta terbaik dibawah penyanyi yang memang menjadi idolanya iaitu diva Ziana Zain. Selain itu dia juga bakal bersaing dengan suaminya sendiri, Azri yang terpilih dibawah ikon Faizal Tahir.

 

“Saya pernah jadi juara dulu tapi tak ke mana-mana. Jadi kali ini, saya mahu mengasah lagi bakat saya. Lagipun program ini terbuka kepada sesiapa saja walaupun yang sudah bergelar artis. Saya juga ambil kesempatan ini sebagai kemunculan semula saya.

 

“Jika sebelum ini Erra Fazira adalah mentor saya tapi Kak Ziana juga adalah salah seorang idola saya. Suami saya pun sertai pertandingan ini dan saya anggap ia satu saingan yang sihat dan misi kami adalah mahu menang hadiah wang tunai yang ditawarkan.

 

“Pun begitu, saya akui ia satu cabaran yang besar kerana kali ini saya perlu menjadi sama seiras dari segi gaya dan nyanyian seperti kak Ziana. Sedangkan saya sudah ada karakter dan nyanyian saya sendiri. Susah juga lah nak tiru macam kak Ziana tapi setakat ini, kata Kak Ziana, suara saya ada lunaknya. Jadi saya akan cuba yang terbaik hingga ke final,” tuturnya.

 

Perkembangan lain, Salma baru saja selesai menjalani tempoh berpantang selepas melahirkan cahaya mata perempuan diberi nama Andika Raisya.

 

Penyanyi berasal dari Sabah ini mendirikan rumah tangga dengan Azri, 29, yang juga merupakan bekas peserta Akademi Fantasia (AF9) pada 31 Januari lalu.

 

Terdahulu, Salma mempunyai seorang anak perempuan Salma hasil perkahwinan pertama serta seorang anak angka.

 

“Alhamdulillah, saya baru habis berpantang. Walaupun sudah lama tiada anak kecil tapi saya tidak berasa kekok menjaga bayi kerana sudah ada pengalaman. Cuma kali ini saya agak kekok semasa menjalani proses berpantang sebab dulu saya tidak berpantang. Tapi kali ini ibu mertua yang menjaga saya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.