“Saya Tidak Suka Muzik Dangdut!” – Rizuka

Kuala Lumpur – Selaku bintang baru dalam industri muzik Indonesia, Rizuka atau nama sebenarnya, Rizka Noriani Putri, 24, dia mempunyai alasan sendiri mengapa enggan untuk mengikut pasaran arus muzik semasa di negara kelahirannya.

 

Bahkan, jika dilihat pasaran muzik di sana, genre dangdut secara umumnya dan lebih-lebih lagi muzik disko dangdut lebih mudah untuk mempopularkan seseorang artis baharu dengan sekelip mata.

 

Akan tetapi, Rizuka lebih selesa untuk terus memperjuangkan muzik Electronic Dance (EDM) seiring dengan gelaran The Singing DJ yang dilabelkan kepadanya sejak menceburi bidang seni walaupun mengakui akan impak besar yang terhasil daripada muzik dangdut.

 

“Jujurnya, saya tidak suka muzik dangdut dan bukan penggemar muzik itu. Sebaliknya, saya suka ikut citarasa sendiri dan peminat EDM juga ramai sehingga ia kini menjadi satu fenomena baharu.

 

“Lagipun, muzik ini sebenarnya lebih mudah untuk dinikmati oleh peminat khususnya generasi muda yang membolehkan mereka juga menari diiringin muzik yang diperdengarkan.

 

“Lebih membanggakan apabila saya menjadi artis Indonesia pertama yang mempertaruhkan EDM sebagai hala tuju muzik kerjaya muzik saya di sana,” luah Rizuka tanpa selindung sewaktu ditanya tentang pilihan muziknya sebagai salam perkenalan kepada khalayak muzik di negara ini.

 

Dia berkata demikian kepada pihak media sewaktu majlis pelancaran single pertamanya, Nobody Else di pejabat Warner Music Malaysia selaku pengedar lagu berkenaan di negara ini.

 

Bercerita lanjut tentang kerjaya seninya, Rizuka memberitahu sememangnya dia adalah seorang penyanyi tetapi pada ketika itu, dia tidak mengambil serius dan sebaliknya menceburi bidang lain seperti lakonan, peragaan dan menjadi DJ (disc jockey).

 

“Entah bagaimana, pada satu hari, saya bertemu dengan seorang teman DJ yang kini menjadi sahabat saya, DJ Riri yang terus menawarkan saya peluang untuk menyertai syarikat rakaman Spinach Record.

 

“Selepas berbincang tentang hala tuju muzik saya, dia juga banyak memberikan semangat dan dorongan buat saya untuk meneruskan misi serta minat saya dalam genre EDM lalu kami merakamkan lagu Nobody Else,” ujar Rizuka sambil memberitahu DJ Riri juga bertindak sebagai penerbit lagu berkenaan.

 

Menyentuh tentang EDM yang menjadi pilihan Rizuka, gadis genit ini mengakui ia adalah muzik yang sedang menjadi trend di seluruh dunia tatkala ini dan diminati oleh anak-anak muda.

 

Apatah lagi katanya, ia juga mudah dihasilkan kerana hanya perlu menghasilkan rentak yang sesuai dengan lagu tersebut sehingga mampu membuatkan pendengar bingkas menari sebaik sahaja mendengarnya.

 

“Ternyata percaturan saya sangat tepat apabila Nobody Else menjadi salah sebuah lagu yang mendapat permintaan ramai dan berada dalam carta iTunes Indonesia selama dua minggu berturut-turut sejak dilancarkan lebih kurang tiga bulan lalu.

 

“Bukan itu sahaja, muzik videonya yang telah dimuat naik ke laman YouTube oleh Warner Music Indonesia turut mendapat sambutan menggalakkan lalu membuatkan saya lebih bersemangat untuk memperjuangkan EDM,” ujar pemenang FHM Girl Next Door Indonesia 2014 itu lagi.

 

Dalam satu aspek lain, kepakarannya sebagai seorang DJ sememangnya jarang dimiliki oleh gadis seusia dengannya. Maka itu, tidak hairanlah apabila juara pertandingan Pioneer DJ Combat Battle Championship 2015 itu turut diberi peluang untuk berkolaborasi dengan penyanyi terkenal Indonesia seperti Shae dan kumpulan Kotak.

 

Kolaborasi itu juga telah membuka pintu buat Rizuka sehingga dapat menghasilkan beberapa lagu popular mereka dalam versi remix dengan memberi suntikan EDM yang turut mendapat maklum balas positif daripada peminat.

 

“Tiada lain yang saya harapkan adalah untuk melihat Nobody Else diterima baik oleh peminat muzik di Malaysia dan semoga ia dapat memberikan kepuasan maksimum kepada semua pihak terutama pecintan muzik serantau.

 

“Buat masa ini, saya mahu fokus kepada lagu ini terlebih dahulu dan mempromosikannya secara menyeluruh. Sudah pasti saya kepingin merakamkan sebuah album penuh.

 

“Misi saya adalah untuk terus menghasilkan lagu-lagu baharu dalam setiap tiga bulan,” kata bekas pelakon sinetron, Hantu Merah Casablanca ini dalam nada optimis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.