Sarimah Mahu Anak Kembar

Kuala Lumpur – Kembali semula melayari kehidupan berumah tangga selepas berkahwin lapan bulan lalu membuatkan Sarimah Ibrahim merasai perasaan yang berbeza jika hendak dibandingkan dengan perkahwinannya dahulu.

 

Bukan sengaja mahu membuka lembaran sejarah hidupnya atau cuba hendak membuat perbandingan tetapi akui Sarimah perbezaan yang dilaluinya kini lebih menjadikannya matang dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri.

 

Jelas pengacara program Sarimah’s 2 Sen itu, perkahwinan keduanya itu banyak mengajarnya untuk lebih menghormati pasangan selain bertolak-ansur dan terus mencari kesefahaman antara satu sama lain.

 

“Saya harus akui bahawa saya banyak belajar dari kesilapan dan saya percaya apa yang saya lalui sebelum ini telah membentuk diri saya menjadi seorang yang baharu sekarang ini.

 

“Disebabkan itu saya bersyukur dengan apa yang saya miliki hari ini dan kehidupan baharu yang saya sifatkan lebih baik kerana dikurniakan dengan seorang suami yang cukup memahami serta baik hati.

 

“Kini baru saya tahu, kehidupan berumah tangga sebenarnya lebih banyak mengajar diri saya untuk menjadi seorang yang lebih sabar dan tenang dalam segenap aspek,” luah Sarimah ketika ditanya tentang kehidupannya kini ketika ditemui di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

 

Personaliti popular berusia 37 tahun itu telah menamatkan zaman jandanya bersama cucunda Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar atau lebih dikenali sebagai Tunku Jamie, 43, pada 2 April lalu.

 

Sebelum ini, Sarimah yang juga seorang pelakon dan penyanyi itu pernah berkahwin dengan seorang warganegara Australia, Amir Andrew Browing Abdullah pada tahun 2006 tetapi perkahwinan itu hanya mampu bertahan sehingga 2009 apabila masing-masing membuat keputusan untuk bercerai.

 

Mengulas lanjut tentang kehidupannya baharunya itu, penyanyi yang pernah meledak dengan lagu Kini Kau Tiada dan Damai itu, dia melihat keserasiannya dengan Tunku Jamie sebagai satu keseimbangan yang membuatkan mereka senang untuk membuat sebarang keputusan.

 

Dalam satu aspek lain pula, Sarimah yang pernah mencuri perhatian menerusi filem Puteri Impian 2 pada tahun 1998 itu juga memberitahu dia masih lagi cuba hendak menyesuaikan diri dengan mengaktifkan dirinya di dapur.

 

Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang kurang gemar memasak tetapi demi untuk suaminya, Sarimah mahu terus memperbaiki skil memasaknya secara perlahan-lahan.

 

“Setakat ini apa yang saya masak, dia makan sahaja tanpa bantahan. Apabila ditanya, semuanya sedap dan tiada komen negatif pula (berseloroh).

 

“Tetapi, saya tidak mahu mengabaikan soal itu (memasak). Saya akan terus mencuba dan mahu menyediakan nasi beriyani untuknya pada Hari Raya yang akan datang nanti,” katanya sambil ketawa kecil.

 

Menyentuh tentang soal cahaya mata pula, Sarimah mengakui dia dan suaminya tidak merancang sebaliknya jika diizinkan Allah SWT, mereka mahu menimang anak secepat mungkin.

 

Bahkan, secara terang-terangan pengacara program Bella di ntv7 itu juga melahirkan keinginannya untuk memiliki anak kembar.

 

“Percaya atau tidak, saya juga sudah mempunyai nama untuk bakal anak saya tetapi sudah pasti saya tidak akan berkongsi kepada umum selagi saya belum dikurniakan dengan cahaya mata.

 

“Seandainya saya disahkan mengandung, saya akan kongsikan dengan semua pihak dan mengumumkan sendiri dalam program Sarimah’s 2 Sen kelak,” ujarnya tanpa selindung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.