Perbarisan, Naikkan Bendera Buka Tirai Perhimpunan Agung UMNO 2015

KUALA LUMPUR – Majlis perasmian Perhimpunan Agung Umno 2015 dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan dan acara menaikkan bendera Umno di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden Umno tiba pada jam 9 pagi bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan disambut oleh Ketua Pergerakan Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda Khairy Jamaludin dan Ketua Puteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

 

Najib, yang berpakaian baju Melayu berwarna merah diiringi Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ke pentas khas untuk menerima tabik hormat daripada komander perbarisan, Komander Ramlan Ramli serta 150 anggota ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno.

 

Najib kemudian menaikkan bendera Umno ‘Sang Saka Bangsa’ dengan diiringi nyanyian lagu Umno, ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ oleh para anggota dan hadirin yang menyaksikan acara itu.

 

Terdahulu, lagu tema perhimpunan pada kali ini ‘Melayu Bersatu’ dinyanyikan oleh kumpulan koir mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM).

 

Selesai majlis itu, Najib bergerak ke Dewan Merdeka bagi menyampaikan ucapan dasar Presiden sekaligus merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2015, yang berlangsung selama tiga hari hingga Sabtu.

 

Sebanyak 5,738 perwakilan terdiri daripada 2,762 perwakilan perhimpunan agung Umno serta 993 perwakilan Wanita, 992 (Pemuda) dan 991 (Puteri) menghadiri persidangan kali ini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.