Orang Islam Tidak Perlu Bimbang – Zuckerberg

Washington – Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg mahu melindungi hak orang Islam dan menyatakan mereka tidak sepatutnya berasa bimbang apabila ‘dianiaya atas tindakan orang lain’.

 

Zuckerberg dalam entri Facebooknya berkata, komuniti Islam tidak sepatutnya berdepan diskriminasi berikutan serangan di Paris dan tempat lain yang dikaitkan dengan pelampau.

 

Beliau mengulas desakan calon Presiden dari parti Republikan, Donald Trump supaya melarang orang Islam daripada memasuki Amerika Syarikat.

 

“Selepas serangan di Paris dan benci minggu ini, saya hanya boleh bayangkan ketakutan di kalangan orang Islam apabila mereka dianiaya atas tindakan orang lain,” katanya.

 

“Sebagai seorang Yahudi, keluarga saya mendidik saya bahawa kita mesti bersatu menentang serangan yang ditujukan terhadap semua komuniti.

 

“Malah sekiranya serangan itu bukan dilakukan terhadap anda hari ini, apa saja serangan terhadap kebebasan bagi semua tentu sekali akan melukakan setiap orang.”

 

Trump pada Isnin mencetuskan kemarahan antarabangsa apabila menuntut larangan dikenakan kepada orang Islam daripada memasuki Amerika Syarikat.

 

“Jika anda seorang Islam dalam komuniti ini, sebagai ketua Facebook, saya ingin nyatakan bahawa anda sentiasa dialu-alukan untuk datang ke sini dan kita akan bersatu mempertahankan hak anda dan mewujudkan keamanan serta persekitaran yang selamat untuk anda,” kata Zuckerberg. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.