Najib Pilih Setia Pada Tun Mahathir

Kuala Lumpur – Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengimbau kembali sejarah 1987 bersama Umno di mana beliau memilih untuk menumpahkan taat setia kepada Presiden parti pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Imbasnya, krisis dalaman Umno itu berlaku dengan menyaksikan Tengku Razaleigh Hamzah bertanding merebut jawatan Presiden daripada Dr Mahathir.

 

Bertitik tolak daripada itu, Najib meminta semua ahlinya untuk setia dengan kepimpinan beliau seperti mana dilakukannya 28 tahun lalu.

 

“Lagipun, sepanjang saya menempuh onar dan ranjau kerjaya menjadi ahli politik dan anggota pentadbiran, semua orang tahu, Najib Razak ini,… saya,… seorang yang tidak confrontational, saya juga tidak pernah menjatuhkan sesiapa,… apatah lagi untuk mengkhianati parti Umno tercinta ini.

 

“Laginya,… hampir kesemua orang yang pernah terlibat dalam politik negara ini pastinya maklum,… bahkan tercatat dalam lipatan sejarah parti ini, bahawasanya,… Najib Razak ini,… Saya jugalah pada tahun 1987, di
persimpangan getir untuk menyebelahi pucuk pimpinan Umno pada masa itu, telah dengan penuh kasih dan hormatnya, tetap memilih untuk taat dan bersetia, kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir, dalam mempertahankan kedudukannya ketika itu, sebagai Presiden Umno, sekaligus mengekalkan dirinya sebagai Perdana Menteri,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar ketika merasmikan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 hari ini.

 

Mohd Najib berkata demikian dipercayai sebagai merujuk kepada tindakan Mahathir, bersama Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal yang akhir-akhir ini dilihat menongkah arus dalam Umno.

 

Sehubungan itu, beliau meminta semua ahli dan kepimpinan untuk berpegang kepada kesetiaan bagi memastikan Umno terus kukuh berdiri teguh untuk orang-orang Melayu.

 

“Bertitik tolak daripada semua itu, antara perkara mustahak yang mahu saya peringatkan, adalah prinsip kesetiaan dan ketaatan kepada pucuk pimpinan.

 

“Sesungguhnya jua, kesetiaan dan ketaatan bukan sekadar menjadi nilai-nilai utama, malah merupakan sifat, sikap, prinsip dan pegangan yang semestinya berdarah daging dan menunjang dalam diri setiap orang Umno dari sebawah-bawahnya, hingga kepada pimpinan-pimpinan kanan.

 

“Barulah wujud dan adanya disiplin, tanzim serta ketersusunan dalam organisasi seperti Umno ini. Hukamak menyebut, sesuatu hak dan kebenaran yang tidak diwaspada pun, boleh tertewas oleh fitnah dan kebatilan yang dikerangkakan dengan rapinya, oleh pihak-pihak yang curang dan berniat jahat,” kata Perdana Menteri itu lagi.

 

Mohd Najib juga sempat merujuk kepada Perlembagaan Umno yang mana memerlukan Timbalan dan Naib-naibnya setia dan membantu tugas-tugas Presiden.

 

Malah beliau juga menerangkan bahawa setiap ahli Umno perlu berpegang teguh pada dasar parti tanpa menafikan hak menegur kepimpinan dan menyuarakan pendapat yang boleh dibuat melalui saluran yang betul.

 

“Berbalik kepada situasi semasa Umno, dimaktubkan dalam perlembagaan parti bahawa, amanah besar dan tanggungjawab yang terpikul di bahu seorang Presiden, melalui fasal 9.8.1, adalah menjadi pemimpin utama dan bertanggungjawab menjaga kesempurnaan perjalanan parti.

 

“Manakala, fasal 9.8.2, dengan terang secara harafiahnya, memperincikan tanggungjawab dan amanah utama, bagi seorang Timbalan Presiden itu, fasalnya itu menyebut, “Timbalan Presiden membantu tugas-tugas Presiden”.

 

“Manakala, bagi fasal 9.8.3 pula, tanggungjawab dan amanah naib-naib presiden itu dinyatakan sebagai,… “Naib-Naib Presiden itu kerjanya membantu tugas-tugas Presiden”.

 

“Merujuk kepada ahli-ahli pula,… fasal 6.1.1 dan 6.2.1, antara intipatinya menyatakan bahawa, tanggungjawab dan hak “Ahli-Ahli Umno” ialah memegang teguh dasar parti dan melaksanakan tujuan-tujuannya serta berhak mengemukakan pendapat kepada parti, tetapi mestilah melalui saluran yang betul,” terangnya kepada seluruh perwakilan seramai 2,654 yang hadir di PAU 2015 itu.

 

Jelas Ahli Parlimen Pekan itu lagi, dengan berpegang kepada Perlembagaan parti, Umno akan terus relevan untuk generasi akan datang dan mampu bergerak dalam ikatan yang kukuh dan sempurna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.