‘Muhyiddin, Jangan Hentam Ikut Perasaan’

Kuala Lumpur – Wakil Umno Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad meminta Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden tidak mengkritik pimpinan parti dan kerajaan mengikut perasaan.

 

Kata Alwi, beliau akui tradisi berubah mengikut peredaran masa tetapi tradisi yang baik haruslah diteruskan supaya parti akan terus berada dalam keadaan aman.

 

“Tradisi kita orang Melayu, kalau marah anak kita pukul tetapi bukan hingga separuh mati, bukan lempang hari-hari. Islam tidak mengajar kita macam itu.

 

“Tahun ini saya hendak kata pada Timbalan Presiden dan Naib Presiden, berdamailah dengan diri, InsyaAllah kita aman.

 

“Dalam parti kita tidak boleh hentam sahaja ikut perasaan kita. Suara kita mesti sama,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden di Perhimpunan Agung Umno di PWTC hari ini.

 

Alwi menegaskan kegagalan UMNO merampas kembali Kelantan daripada Pas berpunca daripada pergaduhan antara mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

 

Menurutnya pergaduhan antara kedua-dua tokoh itu pada 1987 menyebabkan UMNO kalah dan gagal merampas negeri itu sehingga sekarang.

 

“Tun Mahathir kena ingat, tahun 1987 bergaduh (dengan Razaleigh), tahun 1990 kita dapat kosong dan tidak bangkit-bangkit sehingga tahun 2004 hampir bangkit, kita memperoleh 22 kerusi, kurang 1 kerusi untuk memerintah, tapi tak bangkit.

 

“2004 hampir tetapi kurang dua kerusi. Tapi saya ingat 2008 kita boleh bangkit tapi Tun Mahathir balun (serang) lagi, dia balun UMNO dia balun Perdana Menteri, dia balun kita semua, akhirnya kita hilang 2 per 3 majoriti pada 2008.

 

“Salah sikit-sikit itu biasalah. Pemimpin kita… cukuplah. Jangan mengkritik di khalayak, Kelantan dah rasa, jangan sampai satu Malaysia rasa perkara yang sama, ” katanya lagi.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kok Lanas itu turut mengingatkan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya menggunakan platform dalam parti itu bukan membuat serangan dari luar.

 

“Azan mesti dalam masjid. Saya ingat Tan Sri (Muhyiddin) silap sikit je, dia pergi azan bukan dalam masjid, dia azan dekat Padang Merbok, betulkan balik esok azan di masjid,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.