Minuman Malta Atau Bir Halal?

Oleh: Johari Yap

 

 

Masyarakat Islam di Malaysia sudah sedia maklum bahawa bir adalah haram. Apabila mana-mana orang Islam ditanya adakah bir haram, dengan mudahnya dia dapat menjawab bahawa ianya jelas haram. Kenapa haram? Kerana kandungan alkoholnya yang tinggi dan memabukkan.

 

Tetapi jika ditanya bagaimana hukumnya meminum Bir Bintang Zero (Indonesia), Barbican (UAE), Istak (Iran) dan juga Bavaria (Belanda) yang kandungan alkoholnya 0%, ramai yang tidak dapat menjawab. Bagaimana pula dengan kandungan alkohol yang tinggi di dalam tapai yang digemari ramai? Tapai mengandungi sekitar 7% alkohol. Ada yang mencecah 10%.

 

Alkohol dan arak adalah dua perkara yang berbeza. Alkohol, jika dihasilkan dari bahan-bahan yang tidak najis, boleh diguna sama ada sebagai minyak wangi atau bahan pengawet.

 

Arak pula ialah minuman yang haram kerana memabukkan. Kandungannya bukan sahaja terdiri dari alkohol tetapi juga bahan-bahan lain seperti gandum dan anggur.

 

Jadi, kalau kita beriktikad bahawa alkohol yang merupakan salah satu entiti di dalam arak adalah haram walaupun ianya di dalam bentuknya yang tersendiri, maka anggur yang merupakan bahan utama di dalam wain juga akan dikira haram.

 

Kita sering keliru dengan status alkohol. Bagaimana sebenarnya kedudukan alkohol dalam Islam? Berapa peratuskah alkohol yang dibenarkan di dalam makanan atau minuman? Mengapa kita perlu risau dengan alkohol kerana tidak ada satu pun ayat Al-Quran mahupun hadis yang menyebut tentang pengharaman alkohol? Yang ada adalah larangan meminum khamr.

 

Apa itu khamr? Menurut penjelasan Rasulullah SAW berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud dari Abdullah bin Umar,

 

“Setiap yang memabukkan adalah khamr dan setiap khamr adalah haram.”

 

Di sini jelas bahawa batasan khamr didasarkan atas sifatnya, bukan jenis bahannya. Jumhur ulama mendefinisikan khamr sebagai segala sesuatu yang memabukkan baik sedikit mahupun banyak.

 

Terdapat berapa jenis khamr? Khamr terdiri dari dua jenis, iaitu khamr yang mengandungi alkohol dan khamr yang tidak mengandungi alkohol. Contoh khamr yang mengandungi alkohol adalah beraneka jenis bir serta arak seperti wain, whisky, brandy, vodka dan sebagainya. Manakala contoh khamr yang tidak mengandungi alkohol adalah ganja, morfin, candu, marijuana, syabu, ekstasi, pil kuda serta pelbagai jenis dadah yang mengakibatkan mabuk atau tidak sedar diri.

 

Bagaimana pula tapai yang mengandungi alkohol sehingga 7-10%? Proses penapaian sudah pasti akan menghasilkan alkohol. Menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang kali ke-7 pada 11-12 April 1984, jika tapai dibuat bukan dengan tujuan untuk dijadikan minuman yang memabukkan dan semasa dimakan ia tidak memabukkan, maka tapai halal dimakan. Namun begitu, jika tapai diperam terlalu lama dan memakannya boleh menyebabkan mabuk, maka hukumnya berubah menjadi haram untuk dimakan.

 

Majlis Ulama Indonesia turut mengeluarkan fatwa halal memakan tapai. Belum ada lagi pihak yang melaporkan bahawa tapai memabukkan setakat ini.

 

Berdasarkan taklimat, pembentangan dan penjelasan yang disampaikan oleh pakar-pakar dari Institut Penyelidikan Produk Halal UPM serta mengambil kira keputusan muzakarah yang terdahulu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14-16 Julai 2011 telah bersetuju untuk memutuskan seperti berikut:

 

1. Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walaubagaimanapun, bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.

 

2. Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.

 

3. Minuman ringan yang diproses atau dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah paras 1% adalah harus dan boleh diminum.

 

4. Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling, adalah haram diminum.

 

5. Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman, adalah tidak najis dan harus dimakan atau diminum.

 

6. Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.

 

7. Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.

 

Sebelum muzakarah tersebut, minuman malta jenama Barbican dari UAE telah memperoleh sijil halal daripada Islamic Food Research Centre (IFRC) – Malaysia & Asia Region yang beribu pejabat di Petaling Jaya, Selangor, pada 17 Februari 2011 (No sijil IFRC/P/LA/11/0026). IFRC juga telah mengeluarkan sijil yang memperakui Barbican menggunakan bahan yang halal dan proses pengilangan juga tidak melibatkan alkohol.

 

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin, pada 26 Julai 2011, telah menjelaskan bahawa minuman malta jenama Barbican halal diminum berdasarkan kandungan alkohol yang rendah dan bukan diproses sebagaimana proses membuat arak. Walau bagaimanapun, beliau meminta pengeluar dan pengedar minuman malta agar tidak menggunakan label atau jenama yang boleh menimbulkan keraguan kepada pengguna khususnya umat Islam.

 

Majlis Ulama Indonesia (MUI), pada Januari 2015, telah mengumumkan sejumlah produk makanan dan minuman yang mendapat kelulusan halal dari MUI. Di dalam pengumuman tersebut, Bir Bintang Zero keluaran Indonesia, walaupun sebelumnya dikatakan mengandungi 0% alkohol (tiada alkohol), diisytiharkan haram kerana hasil kajian yang dilakukan oleh Lembaga Pengkajian Pangan, Obat-obatan dan Kosmetika (LPPOM) mendapati masih terdapat kandungan alkohol di dalam minuman tersebut. Oleh itu, ia sebenarnya mengandungi khamr yang hukumnya haram.

 

Bir Bintang Zero, keluaran PT Multibintang Indonesia, diciptakan rasanya seperti bir walaupun tanpa melalui proses fermentasi. Ini adalah proses imitasi terhadap minuman haram sehingga mengajar orang Islam untuk menyukai sesuatu yang haram. Fatwa MUI nombor 4 pada tahun 2003 telah mengatakan bahawa “tidak boleh mengkonsumsi dan menggunakan makanan/minuman yang menimbulkan rasa/aroma benda-benda atau binatang yang diharamkan”.

 

Tujuannya adalah lebih kepada pencegahan untuk menyukai sesuatu yang haram sebagaimana yang disampaikan oleh Ketua Komisi Fatwa MUI, KH Ma’ruf Amin, iaitu segala sesuatu jalan yang menuju haram adalah haram.

 

Sehubungan itu, memperkenalkan minuman malta sebagai bir halal adalah tidak menepati syarak, iaitu terdapat unsur syubhah dengan presentasi bir yang haram. Ia menjurus kepada keadaan sosial dan budaya yang buruk. Penjenamaan arak yang halal langsung tidak bersesuaian dengan syariah. Apakah selepas ini akan ada pula babi halal atau judi halal? Semuanya menyumbang kepada kekeliruan dan fitnah yang lebih besar terhadap Islam. Malahan, minuman malta seperti Barbican, Istak dan Bavaria merupakan suatu syubhah kerana imej botolnya seperti botol arak yang sebenar.

 

Adalah langsung tidak wajar untuk mempromosikan penjenamaan songsang sebegini apatah lagi sekiranya ia dilakukan oleh mereka yang mengaku beragama Islam. Di dalam keadaan, di mana sudah terlalu banyak fitnah terhadap Islam yang tersebar, kita sepatutnya berusaha untuk memperbetulkan segala salah faham yang telah wujud; bukannya menambah kepada kecelaruan.

 

 

 

Nota:

 

* Artikel penulis adalah pendapat peribadinya dan tidak semestinya mewakili pandangan SuaraTV, beliau merupakan Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.