‘I Am A Gentleman’ – Najib

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Razak tidak akan meninggalkan tampuk kepimpinanya sehinggalah semua masalah dapat diselesaikan samada ada selaku Presiden Umno mahupun Perdana Menteri Malaysia.

 

Menurutnya, pendirian itu teguh dipegang demi memastikan penggantinya tidak terbeban dengan masalah-masalah yang ada dan secara jelas merujuk kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga wang derma RM2.6 billion.

 

“Sepertimana yang sudah saya nyatakan dengan nada yang tawadu’ di Parlimen baru-baru ini, ya betul, memang benar,… saya seorang presiden dan pemimpin, akan tetapi, saya juga manusia seperti saudara dan saudari semua. Saya ada perasaan juga. Masing-masing, punyai kelebihan dan kekurangan.

 

“Tetapi bagi saya, I am a gentleman, apa-apa kekusutan pun, marilah berjumpa, duduk berbincang, kita selesaikan melalui saluran yang betul.

 

“Dalam pengertian yang lebih langsung, jika sekalipun pada suatu masa kelak, baton kepimpinan ini akan diserahkan kepada orang lain, dalam Bahasa Inggerisnya,…. to me,……. I can’t just abandon our cause and drop our mission, tanpa dengan terlebih dahulu berikhtiar, memastikan bukan sahaja isu-isu berbangkit dilangsaikan, malah,…keadaan parti dan jamaah ini hendaklah kembali dipulihkan seperti sediakala,… sebabnya,… jika tidak,… seperti yang dinasihatkan oleh para alim ulama, saya tidak boleh menjadi seorang pengecut, bahkan, itu bacul namanya,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perasmian Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pagi ini.

 

Beliau dalam masa yang sama mengakui turut bertemu para ulamak bagi mendapatkan khidmat nasihat dan juga pandangan mengenai konflik-konflik yang terjadi di dalam parti.

 

Kata Najib, beliau mengakui turut terkesan dengan apa yang terjadi sejak tahun lalu apabila terus-terusan diserang melibatkan syarikat pelaburan strategik itu.

 

“Sebab itu, terhadap apa-apa perkara pun, ada jalan dan kaedah penyelesaiannya. Dalam ehwal 1MDB, saya ingin maklumkan bahawa, ia sedang ditangani dan dalam proses penyelesaian.

 

“Misalannya, dengan penjualan syarikat Edra, hutang 1MDB kini telah susut sebanyak 17 bilion. Ini membuktikan pelan rasionalisasi 1MDB sedang berjalan dengan baik. InsyaAllah ini akan disusuli dengan beberapa pengumuman yang lain, yang akan meyakinkan rakyat untuk akhirnya nanti mendapat penyelesaian yang tuntas.

 

“Menyentuh dana RM2.6 bilion pula, isu ini pun telah dijawab disidang Parlimen baru-baru ini oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, bahawa, wang itu adalah derma dari luar negara dan bukannya diambil dari 1MDB. Saya juga telah menjelaskan dengan terperinci kepada para perwakilan semasa taklimat presiden. Yang mustahak,… saya yakin,… saya berada di pihak yang benar, dan kebenaran akan terbukti juga,” jelasnya lagi di hadapan 2,654 perwakilan Umno yang hadir di perhimpunan tersebut.

 

Ahli Parlimen Pekan itu, bagaimanapun menyatakan keyakinan bahawa majoriti ahli Umno tetap teguh menyokong dan mendukung kepimpinannya mengemui parti tersebut meskipun berhadapan dengan pelbagai ujian.

 

Semalam, ketiga-tiga sayap parti Umno; Pemuda, Wanita dan Puteri menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Najib semasa persidangan masing-masing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.