Golongan Muda Suka Rujuk Hal Agama Di Media Sosial

KUALA LUMPUR – Golongan muda masa kini cenderung merujuk perihal agama menerusi media sosial dan bukannya melalui golongan ulama atau pakar agama.

 

Demikian pendapat Ketua Puteri Umno Kangar, Armizadonna Wirdawati Mohd Radzi, ketika membentangkan usul agama pada persidangan Puteri Umno bersempena Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.

 

Menurut Armizadonna, hal itu merupakan perkara yang sangat membimbangkan memandangkan golongan itu sudah berani mempersoalkan hukum agama menggunakan medium sosial.

 

“Kami kesal golongan muda sekarang sudah pandai mempertikaikan agama di Facebook, Twitter, Whatsapp dan sebagainya.

 

“Perbuatan tersebut boleh mengancam kesucian agama dan keharmonian umat Islam di negara ini,” katanya.

 

Armizadonna dalam pada itu turut mengingatkan kerajaan terhadap bahaya ancaman IS kepada negara.

 

Katanya, golongan muda adalah golongan sasar kepada IS kerana mereka lebih mudah dipengaruhi oleh pergerakan keganasan kumpulan terbabit.

 

“IS banyak menyebarkan propagandanya menerusi media sosial. Mereka banyak berkata-kata tentang jihad perjuangan, inilah yang akan mempengaruhi golongan muda.

 

“Kita perlu ingat, jangan mudah percaya dengan jihad mereka. Kerajaan juga perlu memainkan peranan serius dalam menangani ancaman tesebut,” tegasnya lagi.

 

Menurutnya lagi, Puteri Umno perlu memainkan penting dalam membantu dan memastikan Umno sentiasa relevan ketika mengatasi ancaman IS.

 

Jelasnya, puteri haruslah meningkatkan program keagamaan bagi memastikan golongan masyarakat tidak mudah terpedaya dengan propaganda yang dibawa IS. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.