Gesaan Bersatu Dominasi Sesi Perbahasan Hari Ini

KUALA LUMPUR – Gesaan bersatu, mengelak persengketaan dan menjauhi fitnah menjadi mesej utama wakil pembahas kepada pemimpin dan ahli parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, petang ini.

 

Memulakan bicara sebaik sesi perbahasan membuka tirainya pada jam 2.30 petang tadi, wakil Kelantan, Datuk Mad Alwi Che Ahmad, mengajak semua saf kepimpinan tertinggi parti berdiri teguh membawa mesej penyatuan.

 

Memulakan perbahasan sebagai pencadang bagi menyokong Ucapan Dasar Presiden UMNO, beliau berulang kali mengajak pimpinan tertinggi mengurangkan sengketa kerana bahtera yang dibawa UMNO ketika ini akan menentukan nasib serta hala tuju Melayu dan Islam pada masa depan.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas itu turut mengambil contoh bagaimana ketika zaman sahabat Nabi Muhammad SAW dan khalifah, perbezaan pendapat diurus dengan baik sebelum sebuah penyatuan dan kekuatan dibina.

 

Ucapan penuh tenaga itu acap kali mendapat tepukan gemuruh perwakilan yang turut melaungkan ‘Hidup UMNO’ dan ‘Hidup Melayu’ mengamatkan lagi suasana di dalam dan luar Dewan Merdeka.

 

Mengambil alih pentas perbahasan sebagai penyokong usul, Dr Fathul Bari Mat Jahaya, mewakili Pergerakan Pemuda UMNO, menyentuh berkaitan fitnah yang bertebaran tanpa had di negara ini.

 

KUALA LUMPUR 10 DECEMBER 2015. Penyokong, Dr Fathul Bari Mat Jahya semasa Perhimpunan Agung UMNO 2015. NSTP/Aizuddin Saad
KUALA LUMPUR 10 DECEMBER 2015. Penyokong, Dr Fathul Bari Mat Jahya semasa Perhimpunan Agung UMNO 2015. NSTP/Aizuddin Saad

 

Disulami beberapa potongan hadis sebelum menutup ucapannya dengan serangkap lagu nasyid, Fathul Bari memasukkan mesej keagamaan yang amat berharga.

 

Malah, beliau mencadangkan dua kaedah mengurus perselisihan iaitu ilmu dan kebijaksanaan kepada ahli dan pemimpin UMNO.

 

“Kita perlu memiliki ilmu iaitu bercakap mesti bersandarkan fakta serta maklumat dan bukan perkara yang tidak jelas.

 

“Ia mesti diperoleh dari sumber berautoriti. Juga perlukan kebijaksanaan, jangan kita menggunakan ruang yang tidak sepatutnya untuk membuat kritikan,” katanya.

 

Wakil Melaka, Mustafa Musa kemudiannya meneruskan rentak bertenaga perbahasan dengan memuatkan beberapa rangkap pantun Melayu dalam ucapannya yang nyata sarat dengan mesej mengajak penyatuan.

 

Antara mesej yang disuarakan Juara pidato Piala Presiden UMNO tahun lalu itu ialah empat strategi mengelak perpecahan dalam parti.

 

Katanya, setiap pemimpin dan ahli perlu menghindari agenda politik sempit yang menjurus kepada perpecahan, mempertahankan konsep ketaatan seutuh-utuhnya, mempertahankan kedaulatan Perlembagaan serta meneruskan usaha membantu orang kampung. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.