Diskaun 50 Peratus Tambang KTMB Untuk Kanak-Kanak Dan Pelajar

Kuala Lumpur – “Kanak-kanak tujuh tahun ke atas layak mendapat diskaun 50 peratus ke atas tiket yang dibeli mereka,” kata Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Lt Kol (B) Sarbini Tijan.

 

Beliau berkata demikian sebagai menjawab luahan tidak puas hati netizen dan juga persatuan pengguna apabila tambang yang dikenakan terhadap kanak-kanak tujuh tahun ke atas sama dengan harga tiket dewasa, berkuatkuasa pada 2 Disember lalu.

 

Menurut Sarbini, pengumuman terbaru KTMB melibatkan tambang kanak-kanak 7 tahun ke atas itu, tidak diteliti dengan baik oleh orang ramai. Sedangkan, semua pelajar termasuk mereka yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) samada warga Malaysia atau sebaliknya, diberikan diskaun 50 peratus

 

“Selepas mendapat diskaun berkenaan, ia lebih kurang sama seperti sebelum ini dan mereka (pelajar) tidak rugi atau kehilangan apa-apa. Syarat kelayakan, memakai uniform sekolah, ko- kurikulum atau asrama itu hanya formaliti dan sekiranya mereka pelajar maka layak dapat diskaun berkenaan,” katanya.

 

Sejak pengumuman kenaikan tambang baru KTMB yang berkuatkuasa 2 Disember lalu, ramai netizen mengecam dengan mempersoalkan rasional di sebalik harga tambang yang sama terutama bagi kanak-kanak berusia 7 tahun ke atas, dalam akaun Twitter KTMB.

 

Bagi netizen, Dian ‏@pandamegusta, tindakan KTMB tersebut adalah sesuatu yang luar biasa.

 

“KTMB kenapa susah-susah. Tetapkan saja semua budak termasuk bayi dan fetus sebagai orang dewasa supaya dapat kenakan caj semaksimum yang mungkin kepada mereka,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, seorang lagi netizen, Sky0ne ‏@Sky0ne mempersoalkan definisi kanak-kanak yang digunapakai oleh KTMB dalam menetapkan harga tambang berkenaan.

 

“Ktmkomuter tau tak kalau ikut definisi Akta Kanak-Kanak, bawah 18 tahun tu dikira kanak-kanak,” katanya.

 

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata sistem pengkelasan yang digunapakai KTMB tidak relevan dan akan membebankan lagi orang awam terutamanya pelajar sekolah.

 

“Peningkatan tambangan daripada 11 sen kepada 15 sen sekilometer sebelum ini pun Fomca rasakan sudah terlalu tinggi dan apabila mengenakan tambang dewasa kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas tidak wajar sama sekali.

 

“Ramai pelajar menggunakan komuter sebagai pengangkutan harian untuk ke sekolah dan sekiranya pengangkutan awam lain boleh mengekekalkan separuh harga kepada kanak-kanak mengapa KTMB tidak boleh berbuat demikian,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.