Wan Azizah Umum Perlantikan Syed Ibrahim Sebagai Ketua Penerangan PKR

Petaling Jaya – Pengerusi Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh dilantik menjadi Ketua Penerangan PKR, demikian diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebentar tadi.
Jawatan itu sebelum ini disandang Dr Muhammad Nur Manuty sejak Disember 2010. Manuty kini hanya memegang jawatan Pengerusi Pimpinan PKR Perak.
Azizah ketika menjelaskan rasional pelantikan Syed Ibrahim berkata bekas Naib Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) itu berupaya menggunakan pengalamannya untuk menyatukan perpaduan masyarakat berbilang kaum.
“Pelantikan beliau adalah sebahagian komitmen PKR untuk melawan politik perkauman dan adu-domba agama yang menjadi ancaman besar dalam negara ini.
“Dengan pengalaman beliau bersama IKRAM, beliau akan menyumbang membawa mesej Islam yang menyatu-padukan semua rakyat,” katanya di sidang media PKR, tengah hari tadi.
Azizah selain itu turut mengumumkan Brigedier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin yang baru.
“Ia menepati fokus PKR untuk menerapkan disiplin di dalam parti sebagai persediaan menghadapi PRU dan Pilihan Raya Negeri Sarawak tidak lama lagi.
“Ini akan menjadikan PKR sebuah parti yang paling ramai pimpinan dari angkatan tentera,” demikian menurutnya.
Azizah yang juga ADUN Kajang itu turut mengumumkan 14 pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) iaitu Mohamed Azmin Ali di Selangor, Muhammad Nur (Perak), Shamsul Iskandar Mohd Akin (Melaka), Datuk Fauzi Abdul Rahman (Pahang), Azan Ismail (Terengganu), Datuk Lajim Ukin (Sabah) dan Baru Bian (Sarawak).
Barisan kepimpinan di negeri lain pula diketuai Dr Idris Ahmad di Wilayah Persekutuan, Hassan Karim (Johor), Datuk Dr Mansor Othman (Pulau Pinang), Abdul Aziz Kadir (Kelantan), Aminuddin Harun (Negeri Sembilan), Dr Azman Ismail (Kedah) dan Muhammad Fisol Abdul Rahman (Perlis).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.