Semakin Hampir Hari Bahagia, Hidup Makin Tunggang Langgang

Petaling Jaya – Tinggal dua hari saja lagi dia bakal melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihan hati, Muhammad Fikri Abdullah. Bagaimanapun tatkala semakin hampir dengan hari bahagia, pelakon Faralyna Idris, 23, mengakui hidupnya menjadi tunggang langgang dek masalah mencari lokasi majlis kahwin.

Perubahan lokasi majlis membuatkan persiapan kahwin jadi terbantut dan semua perubahan terpaksa dilakukan pada minit akhir.

Memilih tarikh 12 Disember ini untuk melangsungkan pernikahan mereka, mengikut perancangan awal, majlis resepsi akan diadakan di dewan yang terletak di Setiawangsa namun atas beberapa sebab, mereka terpaksa pula menukarnya di Marina Putrajaya.

Sementara majlis pernikahan bakal diadakan di atas kapal Cruise Tasik Putrajaya.

Sehari selepas majlis pernikahan, pasangan ini akan mengadakan majlis resepsi di Grand Ballroom The Place Once City, Subang Jaya.
Lusanya pula, satu majlis keraian akan diadakan di sebelah pihak bakal pengantin lelaki di Keramat.

“Asalnya kami memilih dewan di Setiawangsa. Namun atas beberapa sebab, terpaksa pula menukarnya di Marina Putrajaya. Tapi selepas dipertimbangkan kalau terjadi hujan tak ada pula plan sandaran lain.

“Ikutkan seminggu selepas bertunang lagi kami rancak melakukan persiapan terutamanya dalam mencari lokasi majlis kahwin. Tapi dek masalah itu, maka semuanya tergendala. Akhirnya kami memilih Grand Ballroom The Place One City.

“Pertukaran lokasi juga memaksa kami menukar kad kahwin yang sudah dicetak. Memang kad kahwin pun tak sempat diedarkan lagi. Dunia saya dan keluarga memang tunggang terbalik saat ini. Tapi harapnya semua ada hikmah,” katanya.

Seperti kebanyakan golongan selebriti, Faralyna juga ditaja beberapa pihak termasuk soal pakaian dan dekorasi serta pelamin.

“Baju akad nikah saya ditaja Altilia Armani Shah Alam, resepsi (Asian Atelier by Alia Anuar) dan Diandra Couture. Untuk pakaian tunang saya semuanya dibikin daripada Diandra Couture juga. Untuk majlis di Keramat saya akan pakai baju rekaan Ryn Avenue Shah Alam.

“Untuk pelamin dan dekorasi pula, mak cik saya sepakat untuk mengekalkan sentuhan tangan Kayangan Gallery yang bertanggung jawab mengindahkan majlis tunang saya sebelum ini. Tapi untuk pelamin dan dekorasi, pihak saya bayar setengah kepada mereka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.