Perlu tambah baik Akta Hasutan 1948

Shah Alam – Kerajaan digesa supaya meneliti beberapa penambahan lain dalam usaha untuk memperkasakan Akta Hasutan 1948 seperti mana yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, peruntukan khas perlu bagi melarang mana-mana pihak untuk mempersoalkan kedudukan agama Islam dan dalam masa yang sama kebebasan mengamalkan agama-agama lain di Malaysia.

“Di samping itu, kedudukan tanah rizab Melayu dan juga Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) juga perlu dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam penambahbaikan yang akan dilakukan kelak.

“Ia kerana kedudukan mengenai tanah rizab dan juga RAMD merupakan sebahagian daripada wasiat Raja-raja Melayu yang perlu dilindungi daripada perbuatan menghasut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan Seminar Akta Hasutan dan Keselamatan Negara: Antara Hak dan Tanggungjawab Kebebasan di Dewan Sri Anjung Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor UiTM (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Abdul Rahman Omar, Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia, Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz dan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial, Penolong Pesuruhjaya Kanan Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin.

Tambah Abdul Hamid, keputusan Najib untuk mengekalkan akta berkenaan merupakan hasil usaha pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu membantah usaha memansuhkannya sebelum ini.

Jelas beliau, namun begitu mereka tidak boleh terlalu gembira dan cepat berpuas hati dengan kejayaan tersebut sehingga tidak melihat kepada perkara yang lebih besar selepas itu.

“Apa yang lebih penting selepas ini adalah memberi perhatian kepada peruntukan yang akan dimasukkan dan dilaksanakan,” ujarnya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/12/10/perlu-tambah-baik-akta-hasutan-1948/#ixzz3LTRhDbWE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.