Perkasa Selangor Kesal Dengan Kenyataan Presiden BSM

Petaling Jaya – Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Selangor hari ini menyuarakan rasa kesal dengan kenyataan Presiden Persatuan Bible Malaysia (BSM), Datuk Ng Moon Hing yang menuntut Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memohon maaf kerana didakwa mencemarkan bible berbahasa Melayu dan Iban yang dirampas sebelum ini dengan mengecop larangan penerbitan dan penggunaan kitab itu di Selangor melainkan orang bukan Islam.

“Kita kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Moon Hing menerusi protal berita malaysiakini.com pada 7 Disember 2014 itu, selain menyifatkan sikap BSM yang seolah-olah terus menerus melakukan provokasi agama dalam isu Bible ini,” menurut entri PERKASA Selangor Malaysia melalui laman facebooknya.

PERKASA menegaskan, isu tersebut sepatutnya dikira sudah selesai susulan keputusan Sultan Selangor sebelum ini yang memutuskan memulangkan semula 351 Bible berkenaan kepada BSM yang diwakili Pengerusi Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS), Archbishop Datuk Bolly Lapok pada November lalu.

“BSM telah menerima semula Bible milik mereka, maka seharusnya persatuan itu perlu menghormati lebih-lebih lagi melibatkan soal keharmonian agama di negara ini,” tegas PERKASA.

Badan bukan kerajaan (NGO) itu juga berpendapat, dakwaan BSM menyatakan cop tersebut mencemari kitab suci mereka adalah amat dangkal kerana cop larangan itu difahamkan tidak menjejaskan kandungan bible terbabit.

“Selain itu cop tersebut adalah sebagai menguatkuasakan enakmen di Selangor bahawa bible yang menggunakan Kalimah Allah adalah dilarang diedarkan di negeri ini. Justeru, tidak ada keperluan untuk JAIS membuat permohonan maaf kepada BSM,” tegas PERKASA lagi.

Selain itu, PERKASA Selangor turut mempersoalkan niat sebenar BSM mengeluarkan kenyataan sedemikian. Apakah mereka benar-benar ikhlas mahu mewujudkan keharmonian rakyat berbilang agama di negara ini khususnya di Selangor?

Menurutnya, jika demikianlah sikap BSM, maka mungkin Moon Hing boleh dirujuk di bawah akta perundangan sedia ada kerana seolah-olah melakukan provokasi serta menghasut rakyat berbilang kaum dan Agama di negara ini.

Difahamkan, Moon Hing dalam laporan protal itu mengeluarkan kenyataan berbunyi, “Bible yang tercemar dan dicop itu kini tidak boleh diedar atau digunakan kerana ia hanya sesuai sebagai barang muzium.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.