Pemain Sepak Takraw Kebangsaan Masuk ICU, Dijangkiti Virus Kencing Tikus

Kuala Lumpur – Pemain sepak takraw kebangsaan, Mohd Syazreen Qamar Salehan, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), selepas dipercayai dijangkiti virus, petang semalam.
Pemain apit kiri itu pada awalnya demam Khamis lalu ketika menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil Kuala Lumpur.
Bapanya, Salehan Rashid, 51, berkata, Mohd Syazreen, 21, mengadu demam ketika menjalani latihan sepak takraw di MSN dan mendapatkan rawatan di klinik pusat berkenaan sebelum diberi pelepasan pulang ke rumah di Taman Desa Exora Senawang, dekat sini.
Katanya, anaknya pulang dengan menunggang motosikal dari Bukit Jalil menuju ke rumah neneknya di Labu, dekat sini.
“Bagaimanapun dalam perjalanan ke Labu, dia terbabit dengan kemalangan jalan raya apabila motosikalnya terbabas di kawasan Kuarters KLIA Nilai tetapi hanya mengalami kecederaan ringan.
“Dia kemudian mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Kuarters KLIA Nilai tetapi demamnya tidak pulih dan pada Jumaat lalu, dia pulang ke Senawang sebelum mendapatkan rawatan susulan di sebuah klinik swasta di Taman Lavender Height, Senawang.
“Melihat keadaannya, saya membawa dia ke HTJ pagi Sabtu lalu dan ditahan di Wad 5B, hospital berkenaan,” katanya ketika ditemui di HTJ, semalam.
Salehan berkata, keadaan anak kedua daripada empat beradik itu bagaimanapun bertambah serius apabila dimasukkan ke ICU pada jam 4 petang semalam.
Menurutnya, dia tidak pasti penyakit dihidapi anaknya itu walaupun pada awalnya pihak HTJ memberitahu ada kaitan dengan demam denggi.
“Saya tidak menyangka keadaan kesihatannya bertambah serius kerana pada awalnya Mohd Syazreen menyangka demam biasa,” katanya.
Turut melawat Mohd Syazreen, semalam ialah Pengarah Majlis Sukan Negeri Negeri Sembilan (MSNNS) Fouzee Abd Aziz dan Presiden Kelab Alumni Pemain Sepak Takraw Malaysia (KAPSTM) Rommi Suhendra Norsal.
Mohd Syazreen Qamar antara pemain yang mewakili negara pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan Oktober lalu dan terbaru beraksi di Kejohanan Siri Super Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) 2014 di Nay Pyi Taw, Myanmar, November lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.