MTUC Dakwa Bernama TV Langgar Akta Pekerjaan, Gagal Bayar Gaji Sejak Oktober

Kuala Lumpur – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa Bernama TV (BTV) telah melanggar Akta Pekerjaan apabila gagal membayar tunggakan gaji pekerjanya sejak 20 Oktober lalu.

BTV semalam mengakui bahawa ia tidak lagi mampu membayar gaji pekerjanya, dan hanya memberi wang pendahuluan RM500 bagi gaji tertunggak masing-masing.
“Ia memang melanggar Akta Pekerjaan,” kata Setiausaha Agung MTUC N Gopal Kishnam dipetik Malaysiakini.
Kata beliau, pembayaran RM500 tidak membebaskan BTV kerana ia bukan pembayaran gaji penuh seperti yang dikehendaki akta tersebut.
“(Pekerja) tidak boleh pergi ke kedai runcit dan berkata ‘majikan saya hanya membayar RM500, oleh kerana itu boleh ke harga barangan yang ingin saya beli diturunkan?’,” kata beliau.
Beliau juga menolak alasan Bernama bahawa ia tidak sepatutnya bertanggungjawab ke atas gaji pekerja BTV, kerana ia adalah pemegang saham minoriti stesen swasta itu.
“Kami tak kisah siapa pemegan saham, atau siapa yang sepatutnya membayar gaji. Apa yang penting adalah kami pekerja yang telah mengeluarkan tenaga, dan majikan harus membayar sewajarnya,” kata Gopal.
Bernama hanya memiliki kepentingan sebanyak 33 peratus dalam BTV, namun bertanggungjawab untuk operasi stesen swasta itu.
Ia juga telah membayar gaji pekerja BTV dengan dananya sendiri.
Bagaimanapun, mengikut ketua pegawai eksekutif BTV, Datuk Ibrahim Yahaya, Bernama tidak lagi mampu membuat bayaran tersebut.
MTUC telah menawarkan bantuan guaman untuk membantu pekerja BTV mendapatkan gaji mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.