MKN Cadang Gubal Akta Pengurusan Bencana

Kuala Lumpur – Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini mengesyorkan kerajaan supaya menggubal Akta Pengurusan Bencana yang memberi fokus terhadap penguatkuasaan bencana.

Timbalan Setiausaha (Pengurusan Keselamatan) MKN, Ogu Salim Omar berkata, dengan adanya akta baharu itu, ia dapat meningkatkan tahap pengawasan di sesuatu kawasan yang berisiko dilanda bencana.

“Walaupun bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir berlaku tanpa dijangka, namun ia dapat diuruskan dengan lebih baik jika pihak penguatkuasaan memberi perhatian serius.

“Kita percaya dengan adanya akta ini, kita boleh mengambil tindakan terhadap pihak penguatkuasaan bagi mengetahui apakah punca kejadian bencana selain dapat mengheret pesalah ke muka pengadilan untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya Akta Pengurusan Bencana diguna pakai di luar negara seperti di Indonesia dan Pakistan.

“Pada masa ini, hanya ada akta berkaitan alam sekitar di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ogu Salim berkata, MKN dalam proses mendapatkan pengiktirafan daripada International Search and Rescue Advisory Group (Insarag), sebuah badan di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu, untuk memperluas kapasiti Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) ke luar negara.

Beliau berkata, dengan pengiktirafan ‘Insarag External Classification’ (IEC) daripada kumpulan itu, pasukan Smart dapat menyertai aktiviti mencari dan menyelamat di negara yang mengalami bencana.

“Proses mendapatkan IEC, yang dijangka pada 2016, akan dinilai dari semua aspek termasuk kelengkapan yang dimiliki pasukan Smart,” katanya.

Terdahulu, Ogu Salim membentangkan kertas kerja bertajuk Senario Pengurusan Bencana Alam Semasa pada Persidangan Kebangsaan Bencana Banjir: Realiti dan Tindakan di sini, hari ini.

Persidangan dua hari itu, yang bermula semalam, dianjurkan Majlis Profesor Negara.

Ia dihadiri 150 peserta termasuk jurutera, pembuat dasar, agensi kerajaan dan badan profesional akademik bagi membincangkan isu serta penyelesaian terhadap banjir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.