Mini Cooper jadi rebutan di Negeri Sembilan Golf Challenge 2014

SEREMBAN: Sebuah kereta Mini Cooper menunggu pemain yang membuat pukulan hole-in-one pada Kejohanan Negeri Sembilan Golf Challenge 2014 anjuran Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) pada 20 dan 21 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Tunku Kecil Muda Tengku Datuk Seri Hasmuddin Tengku Othman berkata kejohanan julung kali diadakan itu akan berlangsung di Seremban International Golf Club dan Port Dickson Golf & Country Club bagi peringkat saringan pada 20 Disember.

“Selepas peringkat saringan berakhir, 100 peserta yang terbaik di setiap kelab akan berentap di pusingan akhir pada 21 Disember di Royal Seri Menanti Golf & Country Club,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya mensasarkan penyertaan 400 peserta dari dalam dan luar negara.

Sementara itu, Pengurus Besar LPNS Baharudin Jali berkata penganjuran acara itu adalah usaha mempromosikan segmen pelancongan golf di Negeri Sembilan.

“Gaya hidup kini yang meletakkan golf sebagai sukan kegemaran segenap lapisan masyarakat dijadikan sandaran dalam mempromosikan kelab-kelab golf yang terdapat di negeri ini.

“Segmen pelancongan golf di Negeri Sembilan mempunyai potensi yang besar untuk terus dimajukan. Melalui penganjuran seperti ini saya yakin dan percaya segmen pelancongan golf mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

Katanya kerjasama erat antara kelab-kelab golf yang menyertai acara tersebut membuktikan industri itu mempunyai potensi yang besar.

Penggemar golf yang ingin menyertai kejohanan itu boleh mendapatkan borang penyertaan di ketiga-tiga kelab golf berkenaan.

Yuran penyertaan RM250 seorang dan tarikh tutup 15 Disember. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.