Langkah Kerajaan Terengganu Tutup Premis Waktu Solat Jumaat Perlu Dicontohi – Mufti Perak

Kuala Lumpur – Keputusan kerajaan Terengganu mengambil langkah komited mengalakkan umat Islam khususnya golongan muda menunaikan solat Jumaat melalui arahan penutupan semua pasar raya di negeri itu pada waktu berkenaan sebagai tindakan selari dengan tuntutan agama Islam sepertimana termaktub dalam perlembagaan negara.

Pandangan itu disampaikan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang turut menyatakan tindakan sedemikian perlu dicontohi negeri lain.

“Saya cukup gembira dengan keputusan itu. Sepatutnya semua premis perniagaan (negeri lain) perlu mengikut langkah tersebut.

“Namun, jika negeri lain tidak mahu juga berbuat demikian (menutup premis), sudah dianggap bagus dengan mewajibkan dan membenarkan pekerja lelaki Islam untuk pergi menunaikan solat Jumaat,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest.

Beliau mengulas lanjut kenyataan dikeluarkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman kelmarin agar semua premis di negeri itu ditutup selama dua jam dari 12.30 tengah hari hingga 2.00 petang bermula Januari tahun depan.

Menurut Ahmad Razif, keputusan itu dibuat untuk mengelakkan umat Islam terutama golongan muda yang tidak menunaikan solat Jumaat dengan melepak di premis berkenaan terus dipantau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Harussani berkata, sekiranya ada premis perniagaan yang menggunakan alasan tindakan itu memberi kesan kepada masyarakat lain dan menjejaskan operasi mereka, ia adalah tidak rasional.

“Alasan itu tidak logik dan tidak perlu saya huraikan lebih lanjut. Ia tidak memberi kesan kepada peniaga kerana di negara Arab, umat Islam juga boleh melakukan sedemikian (tanpa kerugian).

“Keputusan penutupan premis ini perlu dilihat secara serius dalam usaha mengalakkan lelaki Islam menunaikan solat Jumaat,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Kelantan dan Perak mengambil langkah tegas dengan mengenakan denda kepada mereka yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali selama setahun.

Susulan langkah tersebut, negeri Perlis turut mengambil tindakan sama sebagai bentuk pengajaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.