Berani Berdepan Undang-Undang, Jangan Jadi Pengecut Lari Ke Luar Negara

Kuala Lumpur – Mereka yang didapati bersalah melakukan jenayah di negara ini perlu berani berdepan undang-undang tanpa perlu melarikan diri ke luar negara sebagai pengecut.

Perkara itu ditegaskan Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood terhadap sikap dua penjenayah dikehendaki iaitu penulis blog kontroversi, Alvin Tan dan aktivis politik, Ali Abdul Jalil yang kini menjadi pelarian di luar negara.

Merujuk kepada dua kes berkenaan, beliau menyatakan ia memberi pengajaran kepada masyarakat di negara ini agar tidak mengambil jalan mudah melarikan diri ke luar negara apabila berdepan dengan tuduhan melakukan sesuatu kesalahan jenayah.

“Apabila melarikan diri, ia menunjukkan kita takut atau pengecut untuk berdepan undang-undang dan sebaiknya, jika individu itu tidak setuju dengan tuduhan atas kesalahan yang dilakukan, dia boleh mencabar undang-undang di mahkamah,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest.

Menurutnya, Alvin mahupun Tan tidak selayaknya mendapat perlindungan atau suaka politik dari negara lain memandangkan mereka bukan terbabit dengan kesalahan politik.

“Saya tidak nampak mereka adalah pelarian yang perlu diberi suaka politik kerana mereka melakukan kesalahan jenayah.

“Ali dituduh dibawah Akta Hasutan berkemungkinan dia mempunyai alasan untuk mendapatkan suaka politik.

“Kebiasaannya ada individu yang mendapat suaka politik dari sesebuah negara sehingga diberi kerakyatan di negara itu dan
tinggal sehingga meninggal dunia,” katanya.

Mengulas lanjut kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam, mengenai kerajaan tidak berhasrat melakukan ekstradisi terhadap kedua penjenayah itu untuk dibawa balik, Dr Nik Ahmad menyatakan tindakan kerajaan menarik balik pasport sudah menjadi hukuman wajar.

“Dari aspek ekstradisi, kita sememangnya mempunyai perjanjian dengan Amerika Syarikat tetapi saya berpendapat kesalahan mereka tidak seperti membunuh yang perlu dilakukan proses ekstradisi,” katanya.

Katanya, proses ekstradisi bukan suatu perkara mudah untuk dilakukan apabila permohonan perlu dibuat dan dibawa ke mahkamah di Amerika Syarikat manakala penjenayah ini juga boleh mencabar keputusan berkenaan dan ia mengambil masa
yang panjang untuk dilakukan.

“Jika mahu melucutkan kerakyatan sekalipun terhadap mereka, ia perlu mengikut perlembagaan dan mendapat perintah
mahkamah.

“Dalam kes Alvin dan Ali, ada kemungkinan tindakan tarik balik pasport menimbulkan isu apabila peruntukan Akta Pasport 1966 tidak secara jelas menyatakan tindakan tarik balik pasport.

“Malah, jika seseorang itu melawat sesebuah negara lain, ia adalah hak asasi mereka,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Dr Ahmad Zahid juga menyatakan kerajaan tidak bersikap kejam untuk melucutkan kerakyatan kedua pelarian itu apabila tindakan membatalkan pasport sudah memberi pengajaran.

Tan atau nama sebenarnya Tan Jye Yee dipercayai melarikan diri ke Amerika Syarikat manakala Ali mendakwa sudah mempunyai suaka politik dari Sweden.

Tambah Dr Nik Ahmad, banyak negara di Eropah dan Amerika Syarikat memberi suaka politik termasuk Sweden yang dianggap
lebih mudah.

“Selalunya pelarian sebegini melarikan diri ke Sweden kerana polisi di negara itu lebih mudah untuk memberi suaka politik.

“Di sebalik isu suaka politik, kita juga perlu melihat semula perundangan negara ini apabila jika tiada peruntukan jelas penarikan pasport, ia perlu dimasukkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.