Sah Rafli ditembak pengikut Tuhan Harun

Shah Alam: Polis semalam mengesahkan seorang daripada 15 pengikut ajaran Tuhan Harun yang ditahan mereka adalah individu yang menembak mati Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Rafli Abdul Malek, bulan lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata individu itu dapat dikenal pasti selepas siasatan terhadap semua suspek yang ditahan.

Saya sahkan seorang daripada suspek ditahan adalah individu yang melepaskan tembakan terhadap mangsa. Namun, untuk maklumat lanjut, biar kita tunggu sewaktu perbicaraan nanti, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Polis Bantuan Malaysia Ke-25, di sini, semalam.

Abdul Khalid berkata, pistol jenis Smith & Wesson yang ditemui dalam kereta seorang daripada suspek yang ditahan di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur adalah pistol sama yang digunakan untuk menembak Ahmad Rafli.

Hasil ujian balistik

Ujian balistik yang dijalankan makmal senjata api Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pistol itu digunakan bagi menembak mati mangsa, katanya.
Lima belas pengikut Tuhan Harun ditahan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur antara 29 November dan 2 Disember lalu. Turut ditahan ketua kumpulan itu, Harun Mat Saad yang ditangkap di Tangkak, Johor, pada 20 November lalu.

Polis kini memburu lapan lagi suspek kes berkenaan.

Sementara itu, Khalid mengesahkan wanita warga Taiwan, An Wei Chan, 58, yang diculik sekumpulan lelaki di sebuah chalet di Pulau Pom-Pom, Semporna, Sabah, 15 November lalu berada dalam keadaan selamat.

Katanya, mangsa yang diculik jam 1 pagi selepas rakannya, Lin Min Hsu, 57, ditembak mati masih ditahan kumpulan penculik terbabit.

Tahan 2 warga asing

Polis sudah menahan dua lelaki warga asing dalam Operasi Cantas Khas Bersepadu di sebuah rumah di Kampung Bangau-Bangau, Semporna, Sabah yang dipercayai ada kaitan dengan kejadian bunuh dan culik itu.

Mengulas mengenai kes bunuh membabitkan tiga beradik di Kedah, Khalid berkata, polis masih meneliti bukti yang diperoleh di lokasi kejadian bagi mendapatkan petunjuk.

Sehingga sekarang tiada saksi yang hadir untuk memberi keterangan bagi membantu polis menyelesaikan kes itu dan tiada individu baru yang ditahan, katanya.

Pada 2 Disember lalu, mayat Noor Syafikah Nadia Rusdi, 14, ditemui di kawasan sawah terbiar di pinggir Sungai Tajar, Alor Senibong, manakala dua adiknya, Nur Izzati Husna, 12, dan Puteri Nurul Akma, 3, ditemui terapung di tali air Padang Petani pada keesokan hari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.