Pegawai Awam Wanita PDRM Meninggal Dunia Akibat Wabak Influenza A

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) — Seorang pegawai awam wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, disahkan meninggal dunia Selasa akibat dijangkiti selesema, Influenza A.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata mangsa didapati dijangkiti virus itu selepas menghadiri majlis Perjumpaan Pegawai Awam PDRM bersama KPN di Melaka, Khamis lepas.

Pegawai awam berusia 48 tahun itu meninggal dunia di Hospital Melaka, kira-kira jam 11.10 pagi.

“Kita percaya wabak ini bermula daripada salah seorang kakitangan yang datang dari Kedah menghadiri majlis berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Balai League Table 2013 di ibu negara.

Khalid menggesa kira-kira 300 orang pegawai awam PDRM yang menghadiri majlis itu agar menjalani saringan kesihatan segera.

“Rombongan dari Kedah yang menaiki sebuah bas kini dikuarantin di hospital Kedah untuk pemeriksaan lanjut manakala beberapa orang lagi dikuarantin di Melaka,” katanya.

Khalid berkata beliau juga telah dipanggil untuk menjalani saringan kesihatan kerana menghadiri majlis itu.

Katanya, virus itu dikesan apabila beberapa kakitangan didapati demam selepas menghadiri majlis berkenaan.

Mengenai laporan tentang seorang rakyat Malaysia dikatakan terlibat dalam rusuhan di Little India, Singapura Ahad lalu, beliau berkata individu berkenaan berstatus pemastautin tetap (PR) negara itu, telahpun dibebaskan selepas siasatan lanjut dijalankan.

“Saya telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan dia sudah dibebaskan tanpa syarat,” katanya.

–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.