Zahid Beri Janji Akar Umbi Akan Pilih Calon Sendiri Untuk PRU Depan

JOHOR BAHRU – Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjanji akan memberikan mandat kepada kepimpinan negeri termasuklah bahagian dan cawangan untuk memilih calon bagi pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, calon-calon yang akan mewakili BN kelak bukan individu ditentukan ibu pejabat, tetapi oleh negeri, bahagian dan cawangan demi meraih kemenangan.

“Saya nak tokoh yang ‘popular’, ‘winable’, ‘likeable’, ‘reliable’, bukan ‘cable’. Dulu hanya ‘cable’, ‘strong cable’ maka seolah-olah ‘winable’, ‘capable’ (tetapi) akhirnya ‘unable’ and ‘creating trouble’.

“Saya beri mandat, insya-ALLAH kalau saya menang (presiden) lagi, dan pilihan raya akan sampai, saya akan tunaikan janji ini memberikan ’empowerment’ dan kuasa kepada kepimpinan negeri, bahagian dan cawangan tentukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan pemimpin dan ahli Umno Johor sempena lawatan kerjanya bersama Ahli Majlis Tertinggi Umno ke Johor di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, Umno mempunyai kaedah yang akan dilakukan dalam pemilihan calon bagi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, dalam keadaan itu, Umno mahu parti terus mempunyai harga diri, bermaruah dan tidak boleh diperkudakan oleh mana-mana pihak.

Selain itu, beliau berkata, jika ada ahli khuatir Umno akan diharamkan atau dibubarkan, kepimpinan tertinggi parti mempunyai kaedah dari segi perundangan untuk menentukan ia tidak berlaku.

“Tetapi jika ditakdirkan dibubarkan juga, serahkan kepada pimpinan di peringkat pusat. Kita pun ada kaedah untuk menyelamatkan ahli-ahli dan orang-orang Umno. Insya-ALLAH

“Kerana kita harus terus relevan, kita bukan melukut di tepi gantang, kita bergerak secara enbloc, atau secara berpasukan. Sebab, apa pilihan yang ada pada rakyat sekarang? Mana-mana yang telah mengundi dengan penuh kemarahan ketika itu, mereka telah insaf, Tapi nasi telah menjadi bubur,” katanya.

Ahmad Zahid juga mahu ahli  kembali memenangi fikiran dan hati pengundi yang telah memilih untuk tidak mengundi Umno-BN pada PRU14.

“Mereka mahu kembali, mereka hanya menunggu Umno dan rakan-rakan dari BN untuk terus memimpin mereka,” katanya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.